KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Inisiatif Pengkonsolidasian Industri Getah bagi menyatukan pekebun kecil dalam rantaian bekalan lebih tersusun, sekali gus meningkatkan kecekapan, kualiti dan daya saing produk negara di pasaran global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah strategik itu membolehkan pekebun kecil mendapat akses kepada pusat pemprosesan bersama, teknologi moden dan infrastruktur yang lebih baik.
Katanya, inisiatif tersebut dijangka membantu pekebun kecil menghasilkan getah berkualiti tinggi termasuk Malaysian Standard Natural Rubber (MSNR) yang mampu meraih harga premium di pasaran antarabangsa.
“Rantaian bekalan yang lebih tersusun akan memastikan aliran bahan mentah yang konsisten selain meningkatkan kawalan kualiti bagi memenuhi piawaian pelanggan global.
“Langkah ini juga membuka peluang kepada kontrak ladang atau perjanjian bekalan jangka panjang yang memberi kestabilan kepada pekebun kecil dan pengeluar,” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, pengeluar juga bakal menikmati kos transaksi dan logistik yang lebih rendah apabila berurusan dengan kumpulan pekebun kecil secara kolektif, berbanding dengan ratusan pembekal individu.
Dalam pada itu, kata Johari, konsolidasi rantaian bekalan itu memudahkan pematuhan kepada piawaian antarabangsa termasuk keperluan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kebolehkesanan (traceability) serta pensijilan buruh adil yang kini menjadi syarat utama menembusi pasaran eksport.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi lebih luas untuk memperkukuh sektor getah, yang masih menjadi sumber pendapatan kepada lebih 295,000 pekebun kecil di seluruh negara.
“Kerajaan yakin melalui langkah konsolidasi, daya saing industri getah dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai pembekal utama produk getah yang mampan dan berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN










