KUALA LUMPUR: Peguam mewakili pelakon, Sophia Albarakbah iaitu Aizat Azam mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung siri serangan digital yang melampau susulan daripada kemenangannya untuk kategori Selebriti Feminin Terhangat, Anugerah Melodi Terhangat 2025.
Jelas Aizat, anak guamnya, Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abd Rahman 31, menerima komen menghina, lucah dan menjijikkan sehingga memberi kesan kepada keadaan mentalnya.
“Komen-komen tersebut telah menyebabkan Sophia mengalami kemurungan dan keresahan yang berpanjangan.
“Hari ini kami tampil mengikut undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga Kanun Keseksaan. Kita akan terus berjuang untuk mempertahankan dan mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Setakat ini kami sudah membuat laporan untuk lebih 10 hantaran, kami ada bukti tangkap layar dari platform media sosial dan portal,” katanya.
Aizat ditemui Utusan Malaysia di Balai Polis Travers, Bukit Persekutuan pada Jumaat.
Dalam pada itu, menurut Aizat, ini merupakan perkara paling buruk yang pernah dihadapi anak guamnya sepanjang bergelar selebriti.
“Bagi pihak Sophia, saya boleh jelaskan ini adalah perkara yang paling buruk yang beliau hadapi sejak menjadi artis kerana menerima terlalu banyak mesej di Instagram yang keterlaluan,” katanya.
Bagaimanapun, Sophia dilihat mengalirkan air mata dan tidak mampu menjawab sebarang soalan daripada pihak media.
“Saya minta maaf, saya serahkan semua kepada peguam saya untuk jawab,” katanya sebak.
Terdahulu, nama Sophia kembali menjadi panas selepas pelakon, Bella Astillah, menyampaikan trofi kemenangan kategori Selebriti Feminin Terhangat buatnya semasa Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung pada Ahad. -UTUSAN