KUALA LUMPUR: Pelakon, Idan Aedan bakal berlepas ke Festival Filem Antarabangsa Toronton (TIFF) ke-50 bagi tayangan perdana filem The Fox King, minggu hadapan.
Idan atau Muhammad Shahidan Abdullah, 21, tidak menyangka filem lakonannya bakal ditayangkan di salah satu festival filem berprestij di dunia.
“Semua ini macam impian yang jadi kenyataan. Sangat berdebar untuk tonton filem ini buat pertama kali nanti di Toronto.
“Saya percaya dengan kerjasama penerbit dan pengarah, filem ini berada di tangan yang terbaik. Saya harapkan persembahan lakonan saya juga cemerlang.
“Moga The Fox King akan ditayangkan di Malaysia,” katanya.
Idan ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan dan sidang media Abang Saya Uncle Mike, semalam.
Ditanya adakah ini petanda awal jejak asal Perak bakal merangkul anugerah bertaraf antarabangsa tidak lama lagi, Idan bagaimanapun hanya ketawa.
“Anugerah dalam negara pun belum lagi inikan pula Oscar. Sudah tentu kita sebagai pelakon ada target sendiri namun anugerah bukanlah sesuatu yang saya kejar.
“Apa yang penting ialah kekalkan mutu kerja dan berikan seratus peratus kepada setiap projek yang saya terlibat.
“Saya cuma bertuah, ramai sahaja pelakon lain yang berbakat cuma saya diberikan peluang oleh pengarah, Woo Ming Jin untuk terlibat dalam projek ini.
“Itu juga tanggungjawab yang besar sebenarnya. Saya harap dengan bantuan pengarah, tanggungjawab itu saya mampu lunaskan dengan baik,” katanya.
The Fox King merupakan filem kolaborasi Indonesia-Malaysia yang diarahkan
pengarah Malaysia, Woo Ming dibintangi aktres terkemuka Indonesia, Dian Sastrowardoyo.
Filem ini itu turut menerima sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Dana Filem Cereka 2023 bernilai RM1 juta serta Dana Penyertaan dan Promosi Antarabangsa 2025 berjumlah RM50,000.
The Fox King bakal ditayangkan Festival Filem Antarabangsa Toronton (TIFF) ke-50 pada 9 dan 10 September ini di Toronto, Kanada. – UTUSAN