Idan Aedan, Dian bincang babak The Fox King bersama - Utusan Malaysia

Idan Aedan, Dian bincang babak The Fox King bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Idan Aedan, tidak menyangka meraih pujian daripada bintang filem popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo, selepas bekerjasama menerusi filem The Fox King.

Idan atau Muhammad Shahidan Abdullah, 21, terharu apabila pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu menyedari kebolehan yang dimilikinya selain bersyukur diberi peluang bekerjasama dengan produksi filem ini.

“Saya sangat berbesar hati dengan pujian itu kerana kita tahu dia mempunyai nama yang besar.

“Saya sangat gembira dan sekali lagi terharu dapat bekerjasama dengannya juga terlibat dalam produksi filem ini,” katanya.

Mengimbau kembali pengalaman bekerja dengan Dian pada April tahun lalu, Idan mengakui sangat mudah mencari keserasian juga berbincang untuk menjelmakan sesuatu adegan dengan baik.

“Melakonkan filem tersebut adalah proses mencabar dan sukar tetapi Dian banyak bantu. Dia seperti sebutir berlian bersinar dalam lambakan batu-batu.

“Dia sangat baik, sangat ‘memberi’ di set, malah mudah untuk berbual.

“Setiap babak kami akan duduk sama-sama, bincang bagi mencari keserasian dan dinamik setiap adegan. Itu membuatkan saya rasa lebih yakin ketika di lokasi,” katanya.

Sebelum ini, menerusi sebuah temu ramah, Dian memuji pelakon Mr. Midnight: Beware The Monsters itu selain menyifatkan Idan sebagai pelakon sangat baik hati.

The Fox King arahan Woo Ming Jin merupakan filem kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia yang terpilih untuk tayangan perdana di salah satu festival terbesar dunia iaitu Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) ke-50. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN