PUTRAJAYA: Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HISDAM) 2025 adalah platform penting bagi mengeratkan silaturahim, bertukar pengalaman dan membina jaringan dakwah di peringkat rantau.
Program dihadiri seramai 40 sukarelawan dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura itu dianjurkan bagi menyatukan usaha dakwah di rantau ASEAN.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program berlangsung bermula semalam hingga esok itu penting bagi sukarelawan berkongsi kaedah, metodologi serta pengalaman berdakwah di negara masing-masing.
Beliau berkata, program turut diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh pakar dakwah bagi memperkukuh pengetahuan peserta, seiring usaha membina Malaysia MADANI yang menitikberatkan aspek akhlak dan adab.
“Sebagai penggerak di lapangan, sukarelawan MABIMS perlu memanfaatkan ilmu dan teknik dakwah yang dipelajari di sini.
“Malah, resolusi yang dipersetujui mesti dilaksanakan, bukan sekadar di atas kertas, demi kesejahteraan Islam di rantau ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program HiSDAM di sini, hari ini.
HiSDAM dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta mendapat kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Kementerian Ugama Indonesia, Majlis Ugama Islam Singapura serta badan-badan dakwah serantau. – UTUSAN