LIPIS: “Bunyi letupan yang ‘mengambil’ sebelah kaki saya itu masih terngiang-ngiang di telinga.”
Itu kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan pesara tentera, Hamidun Kamis, 74, apabila kehilangan kaki kirinya akibat terpijak jerangkap samar semasa operasi ketenteraan di kawasan sempadan hutan Kelantan, 49 tahun lalu.
Dia mula berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1970 ketika berusia 20 tahun di Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Mahkota Kluang, Johor. Tugas terakhirnya sebelum bersara di Kem 4 Divisyen, Kem Batu 10, Kuantan dengan berpangkat koperal.
Katanya, insiden ngeri itu berlaku pada 1976 ketika dia bersama anggota lain menjalankan operasi rondaan di kawasan hutan berhampiran Lebuhraya Timur-Barat, dekat Tanah Merah, Kelantan.
“Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 petang ketika hari sudah mulai gelap dan kami hanya berpandukan kepada cahaya di langit.
“Saya bersama rakan platun sedang membuat rondaan kedua. Dalam perjalanan pulang ke kawasan yang dijadikan base camp, saya terpijak jerangkap samar. Saya tercampak dan kaki kiri saya cedera parah hingga ke paras tumit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Bapong, di sini.
Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, selepas insiden tersebut, rakan-rakan sepasukan diarahkan supaya tidak bergerak bagi mengelakkan letupan susulan.
“Dalam keadaan berlumuran darah, saya menahan kesakitan sebelum rakan-rakan datang dan memikul saya beramai-ramai dalam keadaan gelap untuk dibawa ke base camp. Situasi itu tidak mudah. Saya masih ingat, doktor pun terpaksa masuk ke dalam hutan malam itu kerana laluan terlalu sukar. Nyawa saya seperti berada di hujung tanduk,” ujarnya.
Menurutnya, pada keesokannya, barulah dia diusung keluar dari hutan menuju ke jalan raya sebelum dibawa ke Hospital Kota Bharu.
“Saya tiba di hospital tengah hari dan terus dibawa masuk ke bilik pembedahan. Doktor buat keputusan potong kaki saya di bawah paras lutut kerana bimbang berlaku jangkitan kuman. Tambahan, sudah hampir setengah hari berlalu sejak kejadian itu berlaku,” katanya.
Selepas beberapa siri rawatan, Hamidun diberikan kaki palsu buatan Singapura memandangkan Malaysia ketika itu belum mempunyai pengeluar tempatan.
Katanya, walaupun veteran diberikan bantuan secara percuma, proses birokrasi seperti mendapatkan surat doktor dan berurusan dengan hospital masih menjadi halangan besar.
“Kini saya bergantung sepenuhnya kepada kaki palsu untuk bergerak dan proses mendapatkan penggantian dilakukan setiap tiga tahun menerusi bantuan kerajaan. Saya kena hubungi hospital, tunggu surat.
“Kalau nasib tidak baik, duit peruntukan habis, kena tunggu lagi. Itu belum masuk kos ulang-alik dan tenaga,” katanya yang mengakui proses itu semakin sukar dengan faktor usia dan kesihatan. – UTUSAN










