PETALING JAYA: Semua pihak diminta menghentikan daripada menjadikan isu bendera terbalik di sebuah sekolah Cina sebagai modal politik kerana ia hanya kesilapan tidak disengajakan.
Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya berkata, kekecohan yang berlaku sejak beberapa hari lalu tidak wajar diperbesarkan sehingga mengundang siasatan polis dan tekanan terhadap pihak sekolah.
Menurutnya, tindakan segelintir ahli politik yang cuba menonjolkan diri sebagai paling patriotik telah menyebabkan pihak sekolah, lembaga pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid-murid menjadi mangsa keadaan.
“Ini bukan kes penghinaan atau perbuatan sengaja terhadap Jalur Gemilang. Kesilapan ini jelas tidak disengajakan dan tidak perlu dijadikan modal politik.
“Jika keadaan ini berterusan, orang ramai akan takut untuk mengibarkan bendera negara kerana bimbang tersilap sedikit sahaja akan menimbulkan kekecohan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Latheefa turut mempersoalkan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu untuk mengambil tindakan tegas terhadap sekolah tersebut.
Katanya, menteri sepatutnya mempertahankan sekolah itu daripada serangan pihak oportunis, bukannya menambah tekanan.
Pada masa sama, Latheefa turut menegur sikap pemimpin kerajaan dan Ahli Parlimen yang berdiam diri serta tidak mempertahankan sekolah berkenaan.
“Anda tahu siapa anda. Sepatutnya malu kerana membiarkan pihak yang tidak bersalah terus ditekan,” katanya. – UTUSAN










