Helah guna laluan transit gagal, 16 warga Indonesia diusir

Helah guna laluan transit gagal, 16 warga Indonesia diusir

indonesia
Seramai 16 warga Indonesia diarah pulang serta-merta selepas cubaan mereka untuk memasuki Malaysia secara haram menggunakan helah transit digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 16 warga Indonesia diarah pulang serta-merta selepas cubaan mereka untuk memasuki Malaysia secara haram menggunakan helah transit digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), di sini, semalam.

Kesemua individu tersebut, yang terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun, tiba dari Surabaya, Indonesia dengan destinasi akhir penerbangan ke Hatyai, Thailand.

Hasil soal siasat dan semakan lanjut melalui sistem MyIMMs mendapati 15 daripada mereka mempunyai rekod disenarai hitam atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan sebelum ini, manakala seorang lagi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Siasatan mendedahkan modus operandi mereka adalah dengan menggunakan khidmat ejen atau ‘tekong’ untuk ke Hatyai melalui transit di Malaysia, sebelum cuba masuk semula ke negara ini menggunakan ‘laluan tikus’ di sempadan utara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Berikutan itu, kesemua individu terbabit telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan diarah pulang ke negara asal dengan serta-merta.

Dalam perkembangan berasingan, Pasukan Pemantau KLIA2 turut mengesan seorang pegawai penguat kuasa kaunter rujukan yang didapati memberi cop masuk kepada seorang warganegara India tanpa memenuhi syarat kemasukan (counter-setting).

Pegawai itu telah dirujuk kepada Unit Integriti untuk siasatan lanjut.

AKPS menegaskan bahawa kawalan di semua pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang percubaan memasuki negara secara tidak sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN