NAMA Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, 42, melonjak secara tiba-tiba dalam arena politik tanah air apabila beliau berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada penyandang ketika itu, Nurul Izzah Anwar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekali gus menamatkan penguasaan panjang keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi berkenaan.

Sejak memikul amanah pada 2022, beliau kini menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat serta Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Permatang Pauh.
BIODATA
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
Umur: 42 tahun
Pendidikan: Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al Azhar Mesir
Kerjaya:
Ahli Parlimen Permatang Pauh
CEO Yayasan Darul Hadis Al Filfilianiyyah
Pendakwah
Berbekalkan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman dalam gerakan dakwah, Muhammad Fawwaz menggariskan visi jelas untuk menjadikan Permatang Pauh sebagai pusat rujukan pendidikan negeri yang mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
BIODATA
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
Umur: 42 tahun
Pendidikan: Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al Azhar Mesir
Kerjaya:
Ahli Parlimen Permatang Pauh
CEO Yayasan Darul Hadis Al Filfilianiyyah
Pendakwah
Misinya pula berteraskan tiga tunjang utama menyuarakan hak-hak rakyat Permatang Pauh, membawa solusi berteraskan Islam dalam dasar kerajaan, serta sentiasa berada di sisi rakyat dalam apa jua keadaan dan situasi.
Muhammad Fawwaz berkata, dia membayangkan kawasan yang diwakilinya itu menjadi pusat hab pendidikan terbesar di Pulau Pinang merangkumi pendidikan awal kanak-kanak hingga ke peringkat universiti dengan penambahbaikan yang lebih efisien dan efektif.
Beliau berkata, komitmen sebagai wakil rakyat tidak terhenti di dewan Parlimen semata-mata sebaliknya melibatkan turun padang secara berterusan untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk.
“Antara masalah utama dikenal pasti di kawasan ini adalah kesesakan lalu lintas, banjir kilat, dan kos sara hidup tinggi yang semakin menekan rakyat berpendapatan rendah.
“Banjir kilat pula membelenggu beberapa kawasan kampung dan taman perumahan, terutama disebabkan sistem perparitan yang memerlukan perancangan semula secara menyeluruh, khususnya di Serdang dan Perai Tengah,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Muhammad Fawwaz berkata, selain itu, kesesakan lalu lintas sering berlaku pada waktu puncak dan cuti umum memandangkan Permatang Pauh menjadi titik tengah laluan yang menghubungkan pelbagai jalan utama di negeri ini.
“Untuk mengatasi masalah kesesakan, saya membangkitkan isu itu di Parlimen sebanyak tujuh kali selain menghantar surat rasmi cadangan penyelesaian kepada kementerian terlibat.
“Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila projek pelebaran jalan dan pembinaan laluan pintas (bypass) dari Juru ke Sungai Dua diluluskan dalam Bajet 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, dari sudut pembaharuan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz mahu Pusat Transformasi Bandar (RTC) dibina di Permatang Pauh bagi memudahkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan di satu lokasi.
“Projek perumahan kos rendah juga berada dalam senarai keutamaan bagi memastikan rakyat Permatang Pauh berpeluang memiliki rumah sendiri pada harga yang berpatutan.
“Anak muda di sini sangat aktif dalam pelbagai bidang sukan, justeru saya merancang pembinaan Pusat Aktiviti Anak Muda terbesar di kawasan ini untuk mengasah bakat dan menyediakan
platform pembangunan diri,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur seperti pusat sukan, kemudahan perumahan, dan penambahbaikan jalan raya perlu bergerak seiring dengan usaha menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan.
Untuk tempoh jangka masa panjang pula, katanya, beliau mahu memajukan sektor sosioekonomi Permatang Pauh yang terkenal dengan perusahaan kecil sederhana (IKS), restoran makanan popular, pertanian, dan pejabat kerajaan.
“Sektor-sektor ini perlu diberi rangsangan berterusan supaya kekal menjadi pemacu ekonomi setempat dan mampu menarik pelancong ke kawasan ini,” katanya.
Dalam tempoh dua tahun pentadbirannya, Muhammad Fawwaz mengakui, cabaran terbesar beliau adalah perlu memastikan setiap permasalahan rakyat dapat ditangani segera, walaupun sesetengah proses memerlukan masa panjang.
Namun, katanya, beliau optimis bahawa dengan kerjasama padu daripada semua pihak, termasuk jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat Permatang Pauh mampu melonjak menjadi kawasan rujukan pembangunan seimbang.
“Selagi diberi amanah, saya akan terus bersama rakyat, mendengar masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian yang terbaik. Ini janji saya kepada rakyat Permatang Pauh. Saya akan sentiasa berada di sisi mereka, dalam apa jua keadaan,” katanya. –UTUSAN










