'Headwind tidak bersengketa, cuma ketika itu masing-masing ada haluan sendiri' - Utusan Malaysia

‘Headwind tidak bersengketa, cuma ketika itu masing-masing ada haluan sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWALNYA saya menyangka komposer dan penerbit muzik, Man Senoi mungkin tidak lagi menerima ajakan media untuk diwawancara selepas terpalit isu pertikaian hak cipta lagu kumpulan 4U2C sebelum ini.

Namun ternyata telahan saya salah. Mna Senoi atau Othman Masri ini serta merta menyatakan persetujuan berjumpa di pusat beli-belah Wangsa Walk bagi sesi temu bual yang telah diaturkan.

Man Senoi ini bukan calang-calang orang. Pengalamannya dalam bidang muzik tempatan terlalu luas setelah menempuh perjalanan karier lebih separuh abad.

Menariknya, Man Senoi ini jugalah pemuzik yang membarisi line up pertama kumpulan Headwind yang selepas satu tahun ditubuhkan, dijenamakan dengan barisan anggota baharu.

Headwind bermula ada 1979 awalnya dianggotai Ron selaku pemain Keyboard dan vokal, Hassan Idris (gitar dan vokal), Nan (gitar utama dan vokal) dan Tom Anuar (dram, genderang dan vokal), Nordin (bass dan vokal) selain Man Senoi (keyboard dan vokal).

Tahun 1980 menyaksikan kumpulan itu dijenamakan dengan lima anggota baharu.

“Saya satu-satunya anggota yang kekal apabila Ron, Hassan, Tom, Nan dan Nordin mengambil keputusan untuk meninggalkan Headwind.

“Keputusan mereka bukan disebabkan bergaduh atau bertelingkah. Cuma kami semua tidak lagi sehaluan.

“Mereka juga telah menetapkan perancangan masing-masing dengan ada yang memutuskan untuk berhijrah ke luar negara.

“Jadi, tinggalah saya ketika itu yang terpaksa mencari ahli baharu demi meneruskan band berkenaan,” jelasnya.

Kata Man, menjadi cabaran besar bagi beliau untuk mendapatkan pemuzik berbakat antaranya Datuk Zainal Abidin, Zulkif, Azmi, Razak, Nicky Ooi dan Wan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan anggota asal.

“Keutamaan saya ketika itu adalah mendapatkan individu yang betul-betul serasi dan boleh bermain muzik dengan baik.

“Contoh seperti Zainal yang namanya dicadangkan kepada saya oleh seorang rakan. Beliau ketika itu sering bermain muzik di kelab malam di Johor Bahru.

“Sayalah yang menjemput Zainal apabila beliau mula datang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi dengan membawa trombonenya,” ceritanya.

MERANTAU, KUMPUL PENGALAMAN

Meskipun lahir di Melaka, Man Senoi sebenarnya membesar di Singapura bersama 10 adik beradiknya. Bapa mereka pada ketika itu berkhidmat sebagai anggota polis.

Kata Man, sejak remaja lagi beliau sudah pun menerima pendedahan secara formal dalam bidang muzik.

“Mak ayah saya tidak berminat terhadap muzik, tetapi saya sejak remaja lagi sudah belajar bermain muzik secara formal. Adik beradik lain juga boleh bermain muzik namun mereka sekadar menjadikan bidang itu sebagai hobi.

“Saya pula mula bermain muzik secara profesional pada usia 20-an dengan membuat persembahan di kelab malam. Pada 1974, saya berpindah ke Selangor untuk bermain muzik di sebuah kelab di Petaling Jaya.

“Kemudian saya kumpul pengalaman, berpindah randah ke Kuala Lumpur, Kluang, Melaka, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Sabah untuk mencari pendapatan dengan bermain muzik.

“Ketika itu adalah zaman kegemilangan band rock dengan kemunculan banyak kumpulan yang membuat persembahan di kelab-kelab malam.

“Luar biasanya sambutan band-band rock ini sehinggakan empat kumpulan berpeluang membuat persembahan setiap malam dalam kelab yang sama,” katanya.

Kata Man, persaingan yang tinggi ketika itu telah membuatkan munculnya ramai pemuzik handalan pada zaman tersebut.

“Kerana persaingan, semua mahu menjadi pemuzik yang bagus untuk kejar peluang menyertai band dan membuat persembahan di kelab malam.

“Bayangkan, setiap malam band-band ini perlu mempersembahkan berpuluh-puluh lagu sehingga pukul 4 pagi di kelab malam. Keadaan itu amat mencabar fizikal dan mental,” katanya.

4U2C
KONFLIK yang tercetus antara Man Senoi dan 4U2C baru-baru ini tidak mampu menidakkan hubungan baik yang pernah kedua-dua pihak jalinkan di awal dulu.

Selaku individu yang pernah bertanggungjawab menerbitkan kumpulan rap pertama negara itu, Man dan isterinya, Ramziah Mohamed Noor atau Mama Rap menjadi mata kepala yang menyaksikan kegemilangan 4U2C ketika mereka meledak pada era 90-an.

“Kami tidak sangka kemunculan 4U2C mendapat sambutan luar biasa kerana industri muzik kita pada ketika itu didominasi kumpulan rock.

“4U2C mempunyai ramai peminat fanatik pada masa itu. Ke mana sahaja mereka pergi pasti akan diserbu. Sehinggakan kami terpaksa guna khidmat pengawal peribadi untuk jaga keselamatan mereka.

“Kami pernah lihat peminat histeria ketika menonton persembahan 4U2C di sebuah acara di Pulau Pinang sekitar awal 90-an dulu.

“Begitulah kegilaan peminat 4U2C yang mungkin jarang disaksikan penyanyi zaman sekarang. Kami sendiri pun tidak menyangka kumpulan ini akan meledak sampai begitu sekali,” katanya.

Kata Man, pelbagai kekangan yang dihadapi kumpulan rock pada masa itu membuatkan dia dan isterinya mencari kelainan dengan menerbitkan sebuah kumpulan yang genre muziknya melawan arus.

“Masa itu zaman kegemilangan muzik rock. Tetapi banyak juga kekangan dan cabaran yang kumpulan rock hadapi antaranya halangan berambut panjang.

“Jadi, kami pun fikirkan untuk menerbitkan bukan kumpulan rock. Kami dapat idea apabila melihat sekumpulan remaja menari tarian break dance di Dataran Merdeka.

“Zaman itu juga muzik rap dan hip hop mendapat tempat dalam kalangan kalangan pendengar muda menerusi pengaruh penyanyi barat seperti MC Hammer dan sebagainya.

“Disebabkan itu kami ambil keputusan untuk terbitkan kumpulan pop rap pertama di Malaysia. Tapi ketika itu muzik rap dan hip hop yang diketengahkan perlu diselarikan dengan garis panduan kerajaan yang melarang konsep ekstrem dan keterlaluan,” kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN