KUALA LUMPUR: Pelakon, Harissa Adlynn menuntut individu yang membuat dan menyebarkan fitnah mengenai dirinya agar membuat permohonan maaf secara terbuka.
Harissa, 22, berkata tuntutan itu dibuat kerana pelaku telah mengadakan pembohongan dengan menyebarkan cerita palsu yang berpotensi menimbulkan tanggapan negatif terhadap dirinya.
“Saya mengetahui tentang kewujudan artikel daripada pekerja ibu saya. Alangkah terkejutnya saya kerana cerita yang ditulis itu fitnah.
“Saya tertanya-tanya siapa yang menyampaikan cerita palsu itu kepada penulis berkenaan, saya mahu sangat berkenalan dengan dia.
“Yang membuat cerita itu tolong datang berjumpa dan beri tahu apa masalah dia dengan saya.
“Saya terkilan kerana cerita palsu sebegini memberi gambaran negatif dan menjejaskan imej saya. Justeru saya mahu individu berkenaan buat permohonan maaf secara terbuka,” katanya.
Harissa sebelum ini menjadi buah mulut orang apabila muncul dakwaan kononnya dia pernah menyuruh pihak produksi agar menegur seorang pelakon lelaki yang cuba menguratnya.
Tegas Harissa, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pelakon yang digandingkan dengannya justeru menyifatkan dakwaan yang ditimbulkan sebagai keterlaluan.
“Kalau pun ada pelakon yang berkelakuan aneh terhadap saya, tidaklah sampai saya ini mahu mengarahkan syarikat produksi agar menjauhkan mereka daripada saya.
“Saya sendiri akan bersemuka dan mengingatkan individu berkenaan agar bersikap profesional dan sebagainya.
“Dan sekiranya saya tidak mampu kendalikan situasi itu, paling tidak pun saya akan maklumkan kepada pengurus atau pembantu saya, itu sahaja,” jelasnya.- UTUSAN