MELAKA: Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) di Melaka bulan depan bukan sahaja bakal melonjakkan nama negeri itu di persada dunia, malah membuka ruang pelaburan serta kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang pelancongan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, acara anjuran Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan baharu termasuk tourism exchange, penerbangan terus, pelancongan kesihatan, pelancongan kapal persiaran dan halal tourism.
“Dengan kehadiran lebih 159 delegasi antarabangsa, kita yakin Melaka bukan sahaja dikenali sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, tetapi juga sebagai hab pelancongan hijau dan pintar yang berdaya saing.
“Impian kita adalah menjadikan acara ini sebagai batu loncatan untuk memperkukuh imej negeri sekali gus menambah peluang pelaburan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Penjawat Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Ab Rauf menegaskan, kerajaan negeri komited memastikan persiapan penganjuran mencapai tahap terbaik kerana kesannya dijangka memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi negeri.
“Lebih ramai pelancong bermakna lebih banyak tempahan hotel, peluang pekerjaan serta ruang perniagaan kecil untuk berkembang. Komuniti setempat juga boleh memanfaatkan peluang ini dengan mempromosikan produk tempatan dan pengalaman autentik kepada dunia.
“Kita mahu rakyat Melaka merasai limpahan ekonomi secara menyeluruh. Inilah hakikat sebenar yang kita perjuangkan, bukan sekadar menarik pelancong, tetapi mengangkat ekonomi tempatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Setakat ini, lebih 90 peratus persiapan acara telah selesai termasuk lokasi, logistik, pengangkutan dan keselamatan, bagi memastikan Melaka bersedia menyambut dunia dengan penuh kebanggaan. – UTUSAN











