LUMUT: ‘Saya harap sambutan Hari Kebangsaan menjadi medan untuk rakyat terus menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan terutama mereka yang sudah tiada’.
Itu kata Mohd. Termizi Abdul Ghani, 69, bapa kepada Allahyarham Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, tahun lalu.
Menurutnya, walaupun sudah lebih setahun tragedi yang mengorbankan anaknya, rasa kehilangan masih kuat apatah lagi menjelang Hari Kebangsaan.
Katanya, ini kerana biasanya anaknya itu akan berkongsi pengalaman menyertai raptai perbarisan untuk Hari Kebangsaan namun kali ini semua itu tiada lagi.
“Arwah masih terasa dekat sangat. Saya ziarah kuburnya setiap minggu dan kuburnya di Tanah Perkuburan Islam tidak jauh dari rumah. Apabila tiba 31 Ogos, makin terasa kehilangan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu 10, Lekir, dekat sini.
Mohd. Termizi berkata, walaupun tragedi itu meninggalkan kesan mendalam apabila kehilangan anak, dia tetap bangga kerana dua lagi anak lelakinya kini mengikut jejak arwah sebagai anggota tentera.
Menurutnya, dua anaknya iaitu Mejar Mohd. Shahrizad, 39, dan Koperal Muhammad Syazwan, 30, masing-masing berkhidmat di dalam pasukan keselamatan bagi meneruskan semangat dan pengorbanan arwah abang mereka demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN










