KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan warden asrama sepatutnya tidak dilantik dalam kalangan guru kerana beban tugas sedia ada.
Pengerusinya, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, guru sudah mempunyai tanggungjawab besar di bilik darjah dan keadaan akan bertambah rumit jika mereka dipertanggungjawabkan menguruskan konflik serta masalah pelajar sebagai warden.
Katanya, situasi ini bukan sahaja menambah beban kerja guru malah mengganggu masa pengajaran apabila mereka terpaksa meninggalkan kelas untuk menyelesaikan isu lain.
“Jadi seboleh-bolehnya jangan libatkan pelantikan warden itu daripada kalangan guru tetapi cuba cari daripada luar.
“Kalau nak gunakan sistem yang ada sekarang, kena beri kelonggaran yang khusus kepada warden tersebut,” katanya ditemui selepas Sesi Taklimat Menangani Buli Di Sekolah, di Parlimen, hari ini.
Mengulas isu buli di sekolah, Farah Nini berkata, setakat ini negara belum pernah menjalankan kajian menyeluruh mengenai masalah itu di peringkat nasional.
“Banyak kajian ada tetapi kajian itu secara sporadik. Sporadik bermaksud ada kajian di satu-satu kawasan, bukan secara menyeluruh.
“Kalau ada satu nationwide study, kita boleh lihat di mana kelompongan yang ada, apa masalah sebenarnya,” katanya. – UTUSAN