Golongan muda perlu cipta peluang pekerjaan - Ketua Penasihat Bangladesh

Golongan muda perlu cipta peluang pekerjaan – Ketua Penasihat Bangladesh

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Sosial) kepada Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus pada Majlis Konvokesyen Khas, di Hospital Tunku Ampuan Besar Aishah Rohani, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan muda diseru menjadi pencipta peluang pekerjaan menggunakan kuasa teknologi masa kini dan bukan hanya sekadar bergantung kepada mencari pekerjaan sahaja.

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus berkata, dunia memerlukan lebih ramai usahawan, penyelesai masalah dan pencipta peluang baharu, bukan sekadar pekerja yang bergantung kepada pasaran kerja sedia ada.

Menurutnya, setiap individu memiliki potensi luar biasa yang mampu mencipta perubahan sekiranya diberi peluang dan sistem yang menyokong.

“Manusia tidak miskin kerana tiada bakat atau impian. Mereka miskin kerana sistem tidak pernah memberikan mereka peluang yang adil. Sistem kewangan kita dibina untuk melayani golongan kaya, bukan yang miskin.

“Jadi, mengapa menunggu kerja datang? Mengapa tidak mencipta satu? Mengapa tidak memulakan sesuatu yang membantu komuniti anda sama ada dalam kesihatan, pendidikan, pertanian, atau teknologi? Pemikiran sebegini mampu mengubah dunia,” katanya ketika berucap selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Muhammad Yunus yang juga pengasas Grameen Bank turut menggariskan visinya iaitu Tiga Sifar yang menggariskan sifar kemiskinan, sifar pengangguran dan sifar pelepasan karbon bersih.

Menurut beliau, dunia kini berada di persimpangan dengan pelbagai cabaran besar termasuk perubahan iklim, ketidaksamaan, konflik dan ketidaktentuan ekonomi.

“Sistem yang kita gunakan selama ini tidak menyelesaikan masalah-masalah ini. Jika kita terus melakukan perkara yang sama, kita akan terus mendapat hasil yang sama.

“Kita memerlukan jalan baharu yang memberi tumpuan kepada perniagaan sosial, kelestarian dan mengutamakan manusia berbanding keuntungan. Pertumbuhan ekonomi tidak bermakna jika hanya menguntungkan segelintir pihak sambil meninggalkan berjuta-juta orang di belakang,” katanya.

Mengulas hubungan dua hala, beliau berkata, Bangladesh dan Malaysia sentiasa berkongsi hubungan kukuh berteraskan saling menghormati, pertukaran budaya dan impian kemajuan bersama.

Katanya, hubungan itu boleh diperkukuh dalam bidang baharu seperti industri semikonduktor, ekonomi halal, tenaga boleh diperbaharui dan penyelidikan bagi membina masa depan yang makmur, inovatif, berdaya tahan dan inklusif.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Bangladesh, khususnya golongan muda dan wanita yang menurutnya menjadi tulang belakang perubahan sosial negara itu.

Beliau menegaskan reformasi ekonomi, pendidikan, teknologi, serta pilihan raya bebas dan telus menjadi fokus utama kerajaan pimpinannya.

Terdahulu, Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Sosial) kepada beliau sempena Konvokesyen Khas di Auditorium Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN