Gerakan personal keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham negara

Gerakan personal keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham negara

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tahap keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham negara susulan pengaliran keluar modal secara besar-besaran sejak awal tahun ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sehingga kini modal pelabur asing di Bursa Malaysia didapati merosot daripada lebih RM16 bilion pada awal tahun kepada hanya kira-kira RM542 juta.

Jelasnya, perkembangan itu menggambarkan keadaan pasaran saham negara yang tidak stabil, sekali gus menandakan kemungkinan pelabur asing semakin hilang keyakinan terhadap prospek masa depan Malaysia.

“Saya masih ingat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), ada anggota Kabinet yang percaya pasaran saham akan dirangsang, namun hakikatnya adalah sebaliknya.

“Mengapa pelabur asing menarik keluar dana dalam jumlah besar sejak awal tahun ini? Ini adalah trend yang mesti diberi perhatian. Adakah pelabur asing keluar kerana sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan dan prospek masa depan Malaysia?” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dominic, pegangan saham oleh pelabur asing kini berada pada paras terendah dalam sejarah dan berkemungkinan terus menurun sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah tegas bagi mengembalikan keyakinan pelabur.

Beliau berkata, sejak Anwar mengambil alih pentadbiran kerajaan, jumlah modal asing yang mengalir keluar telah melebihi RM22 bilion.

Katanya, baki modal asing sekitar RM500 juta yang masih berada di pasaran berpotensi turut dikeluarkan, sekali gus memberi kesan besar kepada tahap kecairan pasaran.

“Walaupun institusi tempatan dan pelabur runcit cuba mengambil alih saham yang dijual, perbezaan struktur pasaran memberi kesan mendalam.

“Apabila pelabur asing menjual dalam jumlah besar, institusi tempatan dan pelabur runcit perlu mengambil alih. Jika tidak, harga saham sukar dielakkan daripada jatuh,” katanya.

Menurutnya, walaupun Indeks Komposit seolah-olah tidak terjejas oleh pengunduran modal asing, hakikatnya pasaran kini bergantung kepada sokongan institusi besar tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta bank-bank dan dana insurans.

“Pasaran saham adalah permainan sifar jumlah. Setiap pesanan jual mesti ada pesanan beli untuk menyambut. Apabila pelabur asing terus mengeluarkan modal, kecairan pasaran berkurang, kuasa menyerap jualan menjadi lemah dan harga saham secara semula jadi akan mengalami turun naik.

“Kerajaan tidak boleh terus memandang ringan keadaan ini, sebaliknya perlu bertindak segera. Kini pelabur asing ibarat ‘pam air’ yang terus menyedut dana daripada kolam, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit sedang menampung kekosongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN