‘Generasi sekarang lemah mental, tapi letakkan diri begitu mahal’ - Utusan Malaysia

‘Generasi sekarang lemah mental, tapi letakkan diri begitu mahal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

30 tahun menye­lami industri seni tanah air, selebriti versatile, Joey Daud meluahkan kebimbangannya apabila dunia hiburan yang diceburinya kini dipenuhi dengan pendatang baharu dari golongan pempengaruh media sosial.

Meskipun terbuka menerima kehadiran pelapis baharu, pemilik nama sebenar Zulkifli Daud, 52, itu menyifatkan perkara tersebut mampu menenggelamkan bakat besar lagi bermutu yang pernah menyinari dunia hiburan suatu ketika dahulu.

Kata Joey, kebimbangannya itu tercetus kerana pelapis kini terlalu ‘dimanjakan’ dengan bayaran yang mahal meskipun kualiti yang ditonjolkan tidak setimpal dengan harganya.

“Saya lihat, generasi sekarang ini lemah mentalnya, jika terusik sedikit rasa dirinya sudah terduduk. Generasi dahulu, campaklah ke mana sahaja boleh hidup.

“Ada yang saya tengok, mereka buat perkara mudah sahaja tapi meletakkan diri begitu mahal dengan bayaran yang lumayan. Sedangkan yang hebat dalam Malaysia tidak pernah dapat harga sebegini rupa.

“Saya tidak salahkan mereka sebaliknya salahkan saluran yang mendidik mereka begitu. Mungkin mereka fikir generasi itu mampu menaikkan viewers kerana pengikut mereka yang ramai.

“Tetapi apa akan jadi pada generasi yang sudah melalui pelbagai rollercoaster (jatuh bangun) dalam industri ini? Apa guna pencapaian yang kami dapat selama ini?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, pelakon filem 18 Puasa Di Kampung Pisang itu berharap agar ada pihak yang berani tampil ke hadapan untuk memperjuangkan nasib pelakon yang sezaman dengannya.

Bagaimanapun, Joey juga tidak dinafikan dirinya berusaha keras untuk menjaga kualiti lakonannya supaya terus kekal relevan selain sering berpesan kepada beberapa pelapis baharu untuk tidak terus mendongak ke langit.

“Orang Malaysia ini mudah jemu. Saya selalu ingatkan kepada pelapis-pelapis baharu yang ada supaya perbaharui diri, mahalkan diri dan banyakkan membaca. Jangan lupa berkawan itu ilmu.

“Jangan sombong. Insya-Allah, orang akan sayang kita dan yang penting, Allah tahu usaha yang mereka buat untuk berjaya.

“Dia tidak kejam dan akan bagi apa yang kita inginkan. Lalui sahaja dengan usaha, jangan hanya menadah tanpa usaha,” jelasnya.

LAKONAN METHOD

Kerap muncul menerusi karya yang bergenre komedi, penyanyi lagu Wamwamsam itu mengakui identiti tersebut secara tidak langsung melengkapkan portfolionya pada aras yang berbeza sepanjang bergelar penggiat seni.

Namun, pelakon serba boleh itu mengakui dirinya masih mampu membawakan watak lain selain komedi kerana lakonan method adalah punca permulaan awal kerjaya seninya sebagai pelakon.

“Saya mula berlakon dengan lakonan method. Selepas itu baru di set penggambaran orang nampak saya ini seorang yang ceria sebab itu mereka bagi saya berlakon genre komedi.

“Mereka seolah terlupa saya boleh berlakon method kerana sudah banyak membawakan watak komedi. Ada juga yang tidak percaya saya boleh berlakon serius.

“Tetapi, saya okay saja jika watak komedi menjadi sumber rezeki saya buat masa sekarang. Saya juga tidak terfikir untuk cuba watak lain cuma apa yang saya boleh katakan watak komedi ini sebenarnya susah untuk dibawa.

“Pelakon harus jadi lebih kreatif dan natural untuk hasilkan jenaka supaya boleh buat orang tertawa. Kalau sama sahaja, orang akan bosan dan sudah boleh jangka lawak yang akan dilakonkan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Joey bakal muncul menerusi filem seram psikologi komedi, Paraxnormal bersama barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Amir Nafis dan Epy Kodiang, hasil terbitan Nurul Ain Nordin.

Naskhah yang berkisarkan tentang empat sahabat karib yang secara tidak sengaja mengalami pelbagai kejadian menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri itu bakal ditayangkan di pawagam pada 28 Ogos ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN