PETALING JAYA: Gabungan gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil akan menyerahkan memorandum kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di hadapan Parlimen esok.
Dalam memorandum tersebut, gabungan itu menggariskan lima tuntutan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan tujuh tuntutan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendesak keadilan untuk Zara Qairina.
Menurut Sekretariat Solidariti Zara, sehingga pukul 10 pagi ini, memorandum berkenaan telah menerima sebanyak 320 sokongan daripada orang ramai menerusi tandatangan yang dikumpulkan secara fizikal dan dalam talian.
Katanya, satu himpunan aman juga bakal diadakan pada pukul 9.30 pagi di Taman Tugu, Kuala Lumpur, esok sebelum peserta berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen, KDN dan KPM.
“Memorandum ini merupakan suara solidariti rakyat yang mendesak agar keadilan diberikan kepada Zara Qairina dan semua mangsa buli di Malaysia.
“Kami menuntut agar pihak yang menerima memorandum ini mengambil tindakan segera terhadap semua tuntutan yang telah kami nyatakan. Sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi, kami akan menggerakkan tindakan susulan secara aman dan sah di sisi undang-undang, termasuk mobilisasi rakyat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut gabungan berkenaan, antara tuntutan utama ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Bebas Nasional bagi menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu itu serta semua kes buli melibatkan pelajar dalam tempoh 10 tahun lalu.
Selain itu, mereka turut menuntut pihak berkuasa memberikan perkembangan siasatan secara berkala dan telus kepada masyarakat.
“Kami juga menuntut KPM agar menggantung serta-merta semua pegawai pendidikan, pentadbir sekolah dan pendidik yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menutup aduan, mengabaikan laporan, atau melengah-lengahkan tindakan terhadap kes buli sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
“KPM juga perlu mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa,” katanya.
Gabungan berkenaan juga menuntut agar KDN dan PDRM melaksanakan siasatan terbuka terhadap semua individu terlibat, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan pihak berkepentingan.
“Kami juga mendesak agar pihak polis dan KDN menjamin perlindungan penuh kepada saksi dan tertuduh, di samping memastikan keluarga mangsa menerima layanan penuh hormat, sokongan psikososial berterusan, serta perlindungan daripada sebarang tindakan atau komen yang boleh menambah trauma, termasuk penyebaran video atau komen menghina di platform awam.
“Kami turut menuntut supaya inkues dilaksanakan bagi mengenal pasti sebab-sebab kematian, termasuk kemungkinan unsur jenayah,” katanya. – UTUSAN










