Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul Zara Qairina

Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul Zara Qairina

doktor
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan usul mengenai kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.  

Ketua Pemuda Pas itu berkata, beliau sudah menghantar permohonan usul tersebut untuk dibahaskan secara terperinci pada 7 Ogos lalu. 

“Hari ini saya dapat jawapan, usul itu ditolak untuk dibahaskan atas alasan ia akan dijawab oleh setiap menteri berkaitan, sewaktu sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) minggu hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. 

Afnan Hamimi berkata, beliau kecewa dengan keputusan tersebut kerana sesi penggulungan menteri agak terhad serta banyak isu lain perlu difokuskan. 

“Isu arwah Zara Qairina adalah isu besar yang perlu dibahaskan dan memerlukan sesi penerangan oleh menteri.

“Contohnya, sebelum ini, menteri membuat sesi penerangan mengenai isu tarif Amerika Syarikat (AS), isu rakyat Palestin dan insiden letupan gas di Putra Heights. 

“Isu-isu nasional seperti ini perlu dibuka ruang untuk ahli Parlimen mendapatkan penjelasan dan Dewan Rakyat adalah ruang paling bersesuaian,” katanya. 

Beliau turut membangkitkan persoalan terbesar mengenai kes kematian itu yang belum terjawab sehingga hari ini. 

“Kenapa post-mortem (bedah siasat) tidak dilakukan segera sejurus kematian arwah, sehingga jenazah terpaksa dikorek semula untuk dibuat sesi bedah siasat? 

“Apabila post-mortem tidak dibuat ia hanya menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat?” soalnya. 

Semalam, sesi bedah siasat selama lapan jam ke atas jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah itu berjalan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Jenazah arwah kemudian selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang pada pukul 1.15 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN