KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil menawarkan bantuan guaman percuma kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan menaja ibunya menunaikan ibadah umrah sebagai tanda sokongan moral terhadap keluarga mangsa.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, bantuan itu merupakan komitmen G57 untuk memastikan keluarga pelajar sekolah agama itu memperoleh keadilan sepenuhnya berhubung kematiannya yang disifatkan mencurigakan.
“Meskipun saya bukan ahli keluarga arwah, kehilangan ini terasa sangat dekat kerana saya sendiri mempunyai anak perempuan bongsu seusia arwah. Tidak ada ibu bapa yang sanggup menerima pemergian anak tanpa jawapan dan tanpa keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Istana Negara, di sini hari ini.
Zulkarnain berkata, beliau telah menghubungi ibu kepada Allahyarhamah Zara menerusi mesej peribadi dan menyatakan rasa simpati terhadap kesedihan serta tekanan emosi yang dialaminya.
“Rakaman suara arwah yang tular sebelum pemergiannya jelas menunjukkan ketakutan dan tekanan yang dihadapinya. Kami tidak mahu kes ini berlalu tanpa keadilan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau menyerahkan memorandum rayuan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebagai gesaan agar prosiding inkues terbuka diadakan untuk menyiasat punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Zulkarnain turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada pelaku dalam kes tersebut akan dilindungi oleh mana-mana pihak.
“Kenyataan Perdana Menteri itu sangat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. Namun, pendedahan siasatan secara lebih telus kepada umum juga amat diperlukan,” katanya.
Menurut beliau, meskipun siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, kepercayaan rakyat memerlukan proses yang lebih terbuka, termasuk campur tangan Raja-Raja Melayu.
“Campur tangan Majlis Raja-Raja untuk memperkenankan inkues terbuka amat penting agar keadilan sebenar dapat ditegakkan,” tegasnya.
Pada masa sama, G57 memaklumkan bahawa memorandum sama akan turut diserahkan kepada Sultan Pahang, Sultan Perak serta semua Raja-Raja Melayu untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang.
Zulkarnain menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu dalam memperjuangkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina sehingga kes ini mendapat pembelaan sewajarnya. – UTUSAN










