KUALA LUMPUR: FELDA memperkenalkan gaji minimum RM1,700 berserta elaun motor sebagai usaha menarik minat pekerja tempatan dan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di ladangnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan memastikan kebajikan tenaga kerja sektor perladangan terus terjamin.
Katanya, ketika ini FELDA masih bergantung kepada pekerja asing yang setakat Julai lalu berjumlah 12,587 orang dan diambil melalui FELDA Plantation Management Sdn. Bhd. (FELDA Plantation).
“Bagi menangani kekurangan tenaga kerja, FELDA juga menyediakan perumahan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insurans,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, FELDA diberikan kuota pengambilan 3,000 pekerja asing pada 27 Julai 2024 dan kesemua kuota itu berjaya diisi sepenuhnya pada Mac lalu.
Selain pengambilan pekerja asing, beliau berkata FELDA turut mempermudah inisiatif Kerja Borong Kecil (KBK) yang membolehkan warga FELDA menjadi kontraktor kecil, selain membuka tender pertanian berskala besar kepada syarikat milik warga FELDA yang layak.
Katanya, FELDA juga melaksanakan potongan hasil bagi menampung kos operasi ladang, pinjaman peneroka serta Tabung Caruman Tanam Semula dengan jaminan.
“Kutipan Insurans Ladang telah dihentikan sejak Jun 2022 dan pemulihan ladang kini diuruskan oleh badan di rancangan.
“Tabung Tanam Semula masih diteruskan dengan potongan RM12 seekar sebulan dan sedang dikaji untuk disesuaikan dengan kos semasa,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, FELDA turut melaksanakan dasar pendapatan minimum, dengan kos dan potongan yang tidak dapat dikutip akan ditangguhkan serta dikutip semula pada bulan berikutnya. – UTUSAN










