KEMAMAN: Para penduduk Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini menggesa pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah tangki air utama di kawasan perumahan itu yang rosak sejak empat tahun lalu.
Penduduk mendakwa, setiap hari hampir 13 jam pembaziran air di kawasan itu berlaku apabila melimpah keluar dari tangki tersebut bagaikan air terjun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Rumah Murah Taman Semarak Binjai, Mohd. Shahrir Abdul Rahman berkata, penduduk pernah membuat beberapa kali aduan kepada pihak berwajib, namun masih tiada penyelesaian.
“Air melimpah keluar dari tangki bila tidak banyak penggunaan, selalunya ketika penduduk keluar bekerja dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan pada waktu malam dari pukul 10 malam hingga 6 pagi. Setiap hari, air melimpah keluar dan banyak pembaziran berlaku.
“Bila kita buat aduan, mereka (pihak berwajib) datang tengok, namun tak selesai pun masalah. Air melimpah dari tangki mungkin sebab pelampung rosak kerana air tidak berhenti walaupun sudah penuh menyebabkan berlaku limpahan,” katanya di sini, semalam.
Mohd. Shahrir berkata, difahamkan tangki air itu dibina lebih 30 tahun lalu bagi menampung 230 rumah dengan kira-kira 900 penduduk di kawasan itu.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Aazri Zaidi, 40, berkata, limpahan air dari tangki itu dibimbangi mendatangkan masalah lain seperti menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.
“Bila air melimpah keluar, kawasan sekitar tangki itu bertakung dan kita bimbang menjadi sarang nyamuk. Penduduk di sini memang tidak selesa dengan keadaan air yang bercucuran mengalir keluar sebab kadangkala kawasan itu juga menjadi pesta buat kanak-kanak untuk mandi air.
“Kami harap pihak bertanggungjawab selesaikan masalah ini sebab terlalu banyak air yang membazir. Kalau tangki itu tidak terlalu tinggi dan tidak besar, sudah lama penduduk sendiri yang baiki dan tidak tunggu pihak berwajib selesaikan hingga memakan masa hampir empat tahun,” katanya.-UTUSAN










