DUN Sabah bubar dua minggu lagi? 

DUN Sabah bubar dua minggu lagi? 

Rakyat Sabah turun mengundi pada PRN ke-16, 2020 di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada September ini terus menjadi perhatian meskipun belum ada pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membayangkan ia dibuat dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk diadakan Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Sabah. 

“Ada keputusan sudah saya buat. Boleh lagi cuti satu dua minggu ini, tunggu,” katanya ketika selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Papar, semalam. 

DUN Sabah terbubar secara automatik pada 11 November ini selaras peruntukan Perlembagaan Negeri sekali gus menandakan genap lima tahun penggal semasa dan mengakhiri tempoh mandat yang diberikan rakyat PRN lalu.

Langkah membubarkan DUN dilihat perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk kestabilan politik, strategi penyusunan semula parti dan kedudukan semasa kerajaan negeri mendorong timbulnya kemungkinan bahawa PRN diadakan lebih awal.

Semua parti yang bakal bertanding pada PRN kali ini telah membuat strategi lebih awal sama ada membentuk pakatan politik dengan mana-mana parti, mahupun bergerak solo. 

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebulat suara memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik. 

Katanya, Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat Sabah dengan tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri.

“Parti memutuskan bertanding semua 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya. Ini keputusan parti, bukan keputusan Presiden,” katanya. 

Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) Sabah yang membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), apabila Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengesahkan BN bertanding di 40 daripada 73 kerusi, sementara baki 33 kerusi diberikan kepada PH.

“Kalau BN-PH, kita sudah ada persefahaman dan tak ada pelanggaran agihan kerusi dengan PH. Mereka juga bersetuju dengan kerusi yang kita mahu bertanding,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN