TANJUNG MALIM: Dua maut dalam nahas membabitkan tiga buah lori di Kilometer (KM) 372.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan, Slim River di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Mohamad berkata, dua mangsa yang maut dikenali Alexander Silvam, 31, dan Periasamy Nadarajah, 26, masing-masing alamat terakhir di Rantau, Negeri Sembilan.
Menurutnya, polis menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 12.15 tengah hari melibatkan lori membawa muatan telur ayam, kampit simen dan kontena.
“Siasatan awal mendapati lori membawa muatan telur ayam yang dinaiki mangsa yang maut telah melanggar bahagian belakang sebuah lori muatan simen yang sedang berhenti di lorong susur sebelum masuk ke tol Slim River.
“Kedua-dua mangsa merupakan penumpang hadapan dan belakang lori dan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, PLUS memaklumkan nahas itu menyebabkan trafik sesak sepanjang 15 kilometer. – UTUSAN