GEORGE TOWN : Tindakan seorang lelaki berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di sebuah rumah yang dipecah masuk sebelum itu mengundang padah apabila dia berjaya ditangkap oleh penghuni rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian tersebut berlaku di Batu Maung, semalam, namun, tular di media sosial sejak pukul 4 petang tadi.
Sazalee berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar untuk membuang sampah.
“Namun, apabila menyedari kehadiran pengadu (tuan rumah), suspek cuba melarikan diri. Suspek bagaimanapun berpatah balik ke rumah berkenaan dipercayai untuk mengambil semula barang miliknya yang tertinggal.
“Ketika itu jugalah dia berjaya diberkas oleh pengadu bersama beberapa orang rakannya,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, suspek kemudian diserahkan kepada anggota polis yang sedang bertugas di Zon 3 Batu Maung ketika itu dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok bagi mendapatkan permohonan reman.
“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine (Meth), amphetamine (AMP) dan benzodiazepine (Benzo) selain mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN