KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay mengakui dirinya tidak terkecuali dari menjadi mangsa buli di sekolah suatu ketika dahulu.
Menurut Liyana, pengalaman itu juga menjadi punca dirinya bangkit dan berani menentang pembuli selain dibantu oleh kakaknya yang juga belajar di sekolah yang sama.
“Saya pernah kena pukul dan kena tarik rambut oleh pelajar senior ketika berusia tingkatan satu. Tapi kita kena kuat untuk lawan balik sebab saya rasa benda itu perlu.
“Saya juga hubungi kakak yang berada di sekolah sama dan dia datang membantu meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama pelakon drama Putri & Phrince di Pavilion Bukit Bintang, pada Rabu.
Tambah Liyana, dirinya juga semakin terbuka memberikan pendedahan mengenai isu tersebut terhadap anak-anaknya demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“Sebagai seorang ibu yang memiliki dua orang anak perempuan, isu buli yang berlaku baru-baru ini amat memberi kesan kepada saya dan ibu-ibu yang lain.
“Sebagai ibu bapa, kita takkan terfikir perkara itu akan berlaku apatah lagi kita tidak berada di sisi mereka. Jadi, saya sendiri terbuka berkongsi perkara itu kepada anak-anak saya sekadar untuk memberi kesedaran.
“Malah, saya juga sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk bertanya tentang keadaan anak-anak saya di sana,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta itu turut menyuntik kesedaran untuk menangani isu buli dalam karya arahannya yang berjudul Putri & Phrince
“Ramai yang tidak percaya remaja perempuan yang cemburu dan sakit hati itu boleh menjadi pembuli sehingga ada kejadian berlaku baru ramai yang buka mata. Sebab itu, cerita yang saya hasilkan dari dulu sampai sekarang adalah kisah remaja.
“Dalam drama Putri & Phrince ini, saya selitkan macam mana remaja perempuan yang dianggap lemah itu dapat kekuatan untuk melawan semula selepas dibuli.
“Pada masa sama, peranan kawan-kawan untuk membantu jika ada rakan yang dibuli dan melindungi kawannya,” katanya.
Drama Putri & Phrince turut menampilkan lakonan Nesa Idrus, Badron Munirah, Fara Nadiah, Nik Rifaie, Khayrishah Kemal, Farihin Arnia dan Adriana Adnan.
Drama bersiri itu bakal ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia bermula hari ini.-UTUSAN