Undang-undang, reformasi institusi perlu dikaji bersama

Undang-undang, reformasi institusi perlu dikaji bersama

ANWAR Ibrahim (enam kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (lima kiri) serta delegasi ASEAN bergambar pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Reformasi institusi serta undang-undang perlu dikaji secara menyeluruh dan bukan semata-mata berdasarkan keputusan mah­kamah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya dalam usaha mencari keseimbangan antara kebebasan individu dengan prinsip asas negara, demi memastikan reformasi institusi tidak menjejaskan keharmonian.

“Reformasi institusi harus dikaji bersama dan ia bukan keputusan mahkamah sahaja. Mahkamah memberi panda­ngan, kita akan menelitinya dan jika selari dengan agenda reformasi, kita (kerajaan) melak­sanakannya.

“Namun ada perkara yang memerlukan penelitian. Sebagai contoh mengenai kebebasan berhimpun. Kalau berhimpun di istana, ia menimbulkan persoalan kerana Raja-Raja menegaskan ada had tertentu. Jadi, kita perlu berfikir secara bijaksana,” katanya selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan, yang kini sedang dipertimbang untuk dira­yu oleh kerajaan.

Selasa lalu, Mahkamah Ra­yu­an membatalkan perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kesalahan bagi penghantaran komen dalam talian.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati perkataan berke­naan dalam seksyen itu adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 8.

Perkara 10 adalah berhu­bung kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, manakala Perkara 8 pula menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang serta berhak mendapat perlindungan yang sama.

Seksyen 233(1)(a), sebelum pindaan, memperuntukkan bahawa ‘adalah kesalahan untuk seseorang membuat, mencipta atau meminta, dan memulakan penghantaran komen dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menghina dengan niat untuk menjengkelkan, menyalah guna, mengugut atau mengganggu orang lain.’

Mengikut seksyen yang te­lah dipinda dan berkuat kuasa Februari tahun ini, perkataan offensive telah digantikan de­ngan grossly offensive (sangat menghina).

Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Sementara itu cadangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menambah pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan genjatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman kedua-dua negara sebaliknya bertujuan memperkukuh keberkesanan pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) yang kini dilihat kekura­ngan anggota di lapangan.

“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan atau kedutaan untuk menyokong program ini.

“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenya­taan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya mengulas kenyataan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menolak cada­ngan Anwar dengan menegaskan bahawa konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja adalah isu dua hala dan tidak wajar dicampuri pihak luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN