CYBERJAYA: Malaysia terus menyatakan sokongan bagi mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, namun langkah itu perlu dicapai tanpa melibatkan sebarang penetapan prasyarat tertentu.
Dalam hal itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia melahirkan rasa kurang selesa terhadap hasil Deklarasi New York bagi menubuhkan negara merdeka Palestin ekoran prasyarat digariskan bercanggah dasar luar Malaysia.
“Kita punya sokongan untuk mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, itu memang sokongan daripada dulu lagi.
“Jadi, kita kurang selesa, saya kata bukan tidak sokong, cuma kurang selesa dengan Deklarasi New York, dapatan dia. Kerana ada 122 buah negara menyokong usul itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia.
“Tetapi, bila buat dapatan, dia tidak bawa perbincangan bersama kepada seluruh anggota PBB yang menyokong ataupun tidak menyokong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari ASEAN 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, proses perbincangan deklarasi itu juga dibuat secara meja bulat dan hanya dihadiri sekitar tujuh hingga lapan negara selain mendapati dapatannya menetapkan prasyarat tertentu.
“Itu kita kurang selesa, kerana kita mahu supaya sebuah negara Palestin yang merdeka, titik. Tiada sebarang prasyarat.
“Dapatkan negara Palestin yang merdeka dahulu. Selepas itu, siapa yang mentadbir Palestin hak mereka,” katanya.
Mohamad berkata, 122 ataupun 190 buah negara PBB perlu diberi peluang untuk memberi pandangan berhubung dapatan dokumen yang ingin dikeluarkan.
Pada 30 Julai lalu, Perancis dan Arab Saudi sekali lagi membawa ‘Deklarasi New York’ ke PBB dengan mengetengahkan cadangan pelaksanaan 2SS sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Deklarasi itu turut memasukkan syarat utama yang menetapkan supaya Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin. – UTUSAN