Dari lumpuh separuh badan, kini mampu melangkah semula - Utusan Malaysia

Dari lumpuh separuh badan, kini mampu melangkah semula

KUALA LUMPU, 15 OGOS 2025 - Pesakit strok, Mohd. Fadly Mohamed Arif menerima bantuan dari Perkeso bagi menjalani proses pemulihan dan fisioterapi di Pusat Rehabilitasi PERKESO Quill City Mall, Kuala Lumpur. FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesakit strok, Mohd. Fadly Mohamed Arif, 48, kini mampu berjalan semula menggunakan tongkat selepas kurang setahun menjalani rawatan dan rehabilitasi.

Beliau diserang strok pada Mei tahun lalu kerana serangan darah tinggi ketika sedang melakukan senaman di sebuah gimnasium yang menyebabkan bahagian kiri badan lumpuh sepenuhnya.

Sebelum kejadian, Mohd. Fadly bekerja sebagai penyelia tapak kabel bawah tanah dan menjalani kehidupan aktif tanpa sebarang masalah kesihatan.

“Semasa saya bangun pada hari kedua selepas dimasukkan ke hospital, saya rasa seperti ada sesuatu yang hilang, rupa-rupanya tangan dan kaki kiri saya tak berupaya (lumpuh).

“Masa itu memang saya rasa down kerana tidak boleh bekerja dan perlu mengharapkan orang untuk membantu saya. Agak sukarlah (untuk menerima).

“Pada awalnya, keluarga dan anak-anak turut terkesan sebab tengok saya terlantar. Anak pula masih ada yang bersekolah. Jadi saya tunjuk saya kuat, supaya mereka juga kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Serangan strok itu meningkatkan kebergantungannya terhadap orang kerana memerlukan bantuan penuh untuk bergerak termasuk aktiviti asas seperti makan dan mandi.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan dirawat di hospital, beliau kemudian memulakan sesi fisioterapi yang dijalankan secara konsisten di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kini, Mohd. Fadly mampu bergerak dan mengurus diri sendiri nagi rutin harian walaupun masih memerlukan bantuan tongkat.

“Pada mulanya, saya datang sini dalam keadaan berkerusi roda. Tetapi selepas tiga ke empat bulan di sini (pusat rehabilitasi), Alhamdulillah saya sudah boleh berjalan.

“Macam strok ini, bukan semua boleh pulih sepenuhnya tapi saya tidak kisah janji 80 peratus kehidupan itu saya dapat balik,” katanya.

Dalam pada itu, bagi isterinya, Rosiah Ibrahim, 48, tempoh pemulihan itu memerlukan kesabaran tinggi kerana selain mengurus suami, beliau juga perlu mengurus keluarga termasuk tiga orang anak dan ibu mentuanya.

Mengakui cabaran itu bukan mudah, namun Rosiah tetap tabah memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ demi memastikan kelangsungan hidup keluarga dan demi memperjuangkan kesihatan suaminya.

Mohd. Fadly antara 10 peserta projek Hati Mulia sempena Merdeka anjuran Media Mulia, yang mengangkat kisah inspirasi rakyat bangkit semula selepas diuji.

Kisah peserta akan diterbitkan untuk undian pembaca dengan pemenang menerima hadiah RM2,000, selain RM500 kepada semua peserta.

“Mula-mula tahu saya terdiam, terdiam sebab kami pun ada anak yang kecil lagi. Kemudian orang kata cuba ambil masa sekejap dan teruskan sahaja. Kita cuba yang terbaik untuk bagi dia (suami) sihat balik.

“Tapi suami saya ini, saya puji sebab semangat dia yang ‘lain macam’ untuk sembuh. Mungkin dia tidak mahu membebankan saya sebab dia tengok kita bekerja apa semua.

Menurut ibu cekal itu, dedikasinya sebagai isteri dan penyokong utama memainkan peranan besar selain sokongan keluarga dan disiplin mengikuti rawatan rehabilitasi.

Melihat sinar baharu yang diterima keluarganya, pasangan itu berharap kemajuan yang dicapai dapat menjadi motivasi kepada pesakit strok lain untuk kekal kuat dan meneruskan rawatan.

Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.

Tonton dan sokong kisah pilihan anda.

https://www.utusan.com.my/kempen-hati-mulia-2025/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN