Polis tahan tiga pemilik syarikat tersenarai di bursa

Pelaburan MBI: Polis tahan tiga pemilik syarikat tersenarai di bursa

Khalid Mohd. Ismail menunjukkan aset-aset yang dirampas daripada suspek yang terlibat dalam kes penipuan pelaburan MBI di Bukit Aman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia antara enam individu terbaharu ditahan dipercayai terlibat dalam pelaburan MBI melalui Op Northern Star di seluruh negara, baru-baru ini.

Keenam-enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50 an itu ditahan dalam operasi bermula 26 Julai hingga 15 Ogos lalu oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Mohd. Ismail berkata, daripada enam yang ditahan, tiga individu merupakan seorang bergelar Datuk Seri serta dua lagi bergelar Datuk.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka ada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan dua individu bergelar Datuk mempunyai perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan pemaju perumahan manakala dua lagi individu adalah penjaga kebun dan akauntan kebun durian.

“Mereka dipercayai berpe­ranan sebagai proksi yang menerima wang daripada dalang pelaburan MBI (Tedy Teow) untuk tujuan pembersihan (cuci duit) dan wang itu disalurkan untuk perniagaan hartanah, pembelian aset, kebun dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan kesemua individu dalam pelaburan MBI.

Jelasnya, kesemua tangkapan direman selama empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan.

“Kita komited untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan atau membawa masuk atau keluar wang daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali memaklumkan jumlah tangkapan membabitkan kes penipuan pelaburan MBI adalah seramai 17 individu dengan keseluruhan aset yang dibekukan dan disita sejumlah RM3.81 bilion.

Sementara itu, jumlah pembekuan dan sitaan aset dipercayai mempunyai kaitan de­ngan pelaburan MBI menerusi Op Northern Star setakat ini dianggarkan bernilai RM6.64 bilion.

Mohd. Khalid berkata, dalam operasi terbaharu pada 26 Julai hingga 15 Ogos lalu, pihaknya berjaya membeku dan menyita sebanyak 88 akaun bank berjumlah RM10.53 juta; serta 398 juta unit saham dianggarkan bernilai RM86,857,452.00 daripada dua syarikat di Bursa Malaysia.

“Turut disita adalah wang tunai RM300,600, tujuh kenderaan mewah, lima utas jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam telefon bimbit dan pelbagai dokumen berkaitan,” ujarnya.

Menurutnya, pasukan AMLA turut menyita sebuah syarikat pemaju hartanah yang terlibat dalam aktiviti berkaitan dengan menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang disita me­ningkat kepada sembilan buah syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN