JERANTUT: Setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, sekumpulan bekas pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pasti mengimbau pengalaman berharga dan tidak dapat dilupakan ketika bertugas di Ladang Batu Balai, Mukim Ulu Cheka, di sini sekitar 1980, iaitu saat negara masih bergelut dengan ancaman komunis.
Tugas pegawai muda RISDA ketika itu adalah berulang-alik dari pekan Jerantut ke kawasan ladang setiap hari memikul tanggungjawab besar menjaga kebajikan pekebun kecil di tengah-tengah ketegangan keselamatan.
Seorang daripada mereka, Aniruddin Kamarudin, 65, berkata, insiden yang berlaku pada satu malam sekitar Ogos 1980 kekal terpahat dalam ingatannya apabila Unit Keselamatan Kawasan (UKK) melakukan serbuan mengejut sebelum tengah malam.
“Saya dan beberapa rakan baru sahaja pulang dari jamuan muhibah di pekarangan tokong Cina apabila serbuan berlaku. Keadaan menjadi kecoh sekelip mata. Ramai penduduk termasuk kami pegawai RISDA sendiri ditahan untuk soal siasat.
“Keadaan ketika itu tegang, tetapi semua pihak sedar pentingnya menjaga keharmonian dan berjaya mengelakkan huru-hara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Aniruddin berkata, jamuan dianjurkan oleh masyarakat Cina tempatan berlangsung secara harmoni namun ketegangan tercetus apabila UKK menyerbu lokasi berkenaan atas alasan keselamatan, kononnya melepasi masa dibenarkan.
Wan Nazlin Wan Nasar, 58, yang turut berkhidmat di Jerantut ketika itu pula menyifatkan insiden berkenaan sebagai pengalaman yang mendewasakan mereka.
“Kami perlu sentiasa bersedia. Habis tugas sekitar pukul 6 petang, terus pulang. Sekatan jalan raya dan pemeriksaan sangat ketat tetapi semua itu demi memastikan tiada anasir jahat menyelinap ke kampung,” katanya. – UTUSAN










