DAPSY gesa arahan tutup klinik gigi ditarik balik - Utusan Malaysia

DAPSY gesa arahan tutup klinik gigi ditarik balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Kerajaan Negeri Johor campur tangan mengarahkan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menarik balik arahan penutupan selama 30 hari terhadap sebuah premis pergigian swasta yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY menyifatkan tindakan menutup klinik tersebut sebagai keterlaluan dan tidak sepadan dengan kesalahan dilakukan.

Katanya, keputusan MPPn itu bukan sahaja melampaui kuasa, malah boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penguatkuasaan PBT sepatutnya mengambil kira kesan dan implikasi kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti bertindak sebagai polis moral.

“Memasang bendera secara terbalik memang suatu kesilapan dan tidak dinafikan berlaku kecuaian, namun hukuman menutup operasi klinik selama sebulan jelas tidak wajar.

“Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang sudah membuat janji temu, termasuk bagi pembedahan, terpaksa menangguhkan rawatan atau mencari doktor lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada klinik tersebut selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019 berkaitan kewajipan pengibaran bendera.

Bagaimanapun, DAPSY berpendapat keputusan itu bercanggah dengan prinsip kesepadanan dalam penghukuman kerana tiada pertimbangan budi bicara yang munasabah diambil kira.

“Penguatkuasaan perlu berasaskan fakta dan konteks sebenar, bukan sekadar pendekatan one-size-fits-all, selain perlu mengelakkan ruang penyalahgunaan kuasa.

“Lebih membimbangkan, terdapat amalan dwi standard dalam isu Jalur Gemilang apabila kesilapan sama melibatkan Kementerian Pendidikan, Pas Terengganu dan Pemuda UMNO Terengganu tidak dikenakan tindakan tegas, tetapi peniaga kecil pula dihukum seolah-olah dijadikan kambing hitam.

“Pendekatan sedemikian hanya akan menimbulkan persepsi buruk, menghakis kepercayaan masyarakat terhadap PBT dan menambahkan rasa tidak puas hati rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN