TAIPING: Dadah yang dijual pada harga murah yang dilaporkan berlaku di Sungai Golok, kawasan sempadan Malaysia-Thailand antara Kelantan dan Narathiwat dalam perhatian pasukan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan pihak Thailand tentang harga dadah dijual murah sehingga menjadi tumpuan penagih termasuk rakyat Malaysia ke kawasan itu berada dalam makluman pasukan keselamatan negara ini.
“Sememangnya kita dengan Thailand serta negara Asean yang lain kita lakukan tiga perkara. Pertama perkongsian maklumat risikan (inteligent sharing), operasi bersama dan pembinaan kapasiti (capacity building),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis peluncuran Kampung Temerlok, Trong sebagai Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng dilaporkan berkata, kawasan itu menjadi lokasi penagih menyewa inap desa bagi melepaskan ketagihan dan tidak menolak terdapat rakyat Malaysia turut datang ke sana untuk berhibur serta mendapatkan harga dadah yang murah.
Saifuddin berkata, pasukan keselamatan negara peka dengan keadaan itu dan lebih 200 pangkalan haram telah ditutup untuk membasmi kegiatan tersebut sejak awal tahun ini.
“Kita ada beberapa berita kejayaan. Keadaan ini dinamik, apabila saya sebut kita tutup pintu masuk ataupun kita kawal, tutup (laluan) bekalan haram, kawal pintu sempadan negara, pintu rasmi dan juga jalan tikus ini di kawasan yang sebelah Kelantan tadi, aktiviti penyeludupan itu sampai ke Kedah pula.
“Kita menyaksikan ada sedikit peningkatan tangkapan. Keadaan macam itulah, kita perketatkan sana, dia masuk ikut jalan lain,” katanya.
Menteri itu memberi jaminan pasukan keselamatan sentiasa peka, bersedia dan tidak bertolak-ansur terhadap kegiatan tersebut.
Sementara itu Saifuddin berkata, pelaksanaan program Kampung Angkat Madani memberi nafas baharu buat Kampung Temerlok melalui empat projek pembangunan bernilai RM1 juta.
Projek tersebut ialah menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Tok Lin (RM350,000), baik pulih Sekolah Agama Rakyat (RM170,000), menaik taraf Pusat Pemindahan Banjir SK Temerlok (RM330,000) dan pembaikan Masjid Al-Mahmudiah bernilai hampir RM150,000.
Perkara lain, beliau juga mahu isu bekas pekerja MyBurgerLab berhubung kenyataannya mengenai hukuman jika gagal menunaikan solat Jumaat sebagai pengajaran penting dalam memahami struktur masyarkat Malaysia. – UTUSAN