ALOR GAJAH: Gara-gara tidak berdisiplin mengambil ubat darah tinggi pada waktu ditetapkan, seorang bekas barista kini disahkan mengidap masalah Bell’s Palsy.
Bagi Muhammad Hafizi Azreq, 37, dia reda dengan apa yang telah berlaku dan mengakui penyakit saraf yang dialaminya berpunca daripada kealpaan sendiri.
Katanya, detik hitam itu berlaku pada Januari lalu apabila dia tiba-tiba rebah di kaki lima sebuah kedai.
“Saya menerima rawatan di Hospital Kajang di Selangor selama tiga bulan dan pernah ditidurkan sebanyak dua kali. Doktor maklumkan pada keluarga peluang untuk saya hidup sangat tipis.
“Setelah sedar dari koma saya dapati keupayaan pada ketika itu agak berbeza seperti sukar berjalan, penglihatan kabur dan percakapan juga tidak jelas. Doktor maklumkan saya mengalami minor strok dan menghidap masalah Bell’s Palsy,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Tengah Kuala Sungai Baru di sini, baru-baru ini.
Muhammad Hafizi merupakan antara tiga penerima wang tunai berjumlah RM500 sumbangan Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi Program Hati Mulia dengan kolaborasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Tambah Muhammad Hafizi, serangan strok berlaku disebabkan sikapnya sendiri yang culas mengambil ubat darah tinggi.
Menurutnya, dia juga mempunyai persepsi negatif terhadap pengambilan ubat-ubatan kerana terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.
“Akibatnya saya hampir maut dan hilang keupayaan pada anggota tubuh badan. Doktor tidak memberikan tempoh untuk saya sembuh tetapi keadaan semakin baik selepas menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso.
“Saya tidak sabar untuk bekerja semula walaupun bukan mudah untuk mencari majikan yang sudi menerima pekerja seperti saya. Saya telah berdamai dengan takdir dan bersyukur diberi peluang kedua,” ujarnya.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.