Cubaan GRO menyorok dalam ruang rahsia ketika diserbu gagal

Cubaan GRO menyorok dalam ruang rahsia ketika diserbu gagal

SEORANG wanita dipercayai GRO (kiri) cuba menyorok dalam satu ruang rahsia ketika diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di sebuat pusat karaoke di Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Cubaan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing untuk menyembunyikan diri dalam ruang rahsia di sebuah pusat karaoke gagal selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu pusat hiburan itu dalam satu operasi di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Osman berkata, dalam serbuan itu, seramai 110 individu telah diperiksa dengan 37 daripada mereka iaitu 35 wanita serta dua lelaki warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari China, 19 dari Vietnam, 14 dari Thailand dan seorang warga Laos yang kesemua berusia antara 23 hingga 45 tahun.

“Dalam serbuan itu juga, kita turut menjumpai sejumlah besar wang tunai yang dipercayai digunakan sebagai bayaran untuk GRO yang bertugas.

“Siasatan awal mendapati, premis terbabit turut mengenakan bayaran antara RM250 hingga RM300 sejam (untuk melanggan GRO),” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini..

Basri memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati, ruangan rahsia yang terletak di dalam setiap bilik karaoke itu turut ditutupi dengan sofa dan pembesar suara bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Terdapat sepuluh bilik karaoke di premis yang terletak di tingkat tujuh ini dan kesemuanya dilengkapi dengan ruang rahsia bagi memudahkan mereka (GRO) menyembunyikan diri,” ujar beliau.

Jelasnya, premis yang telah beroperasi lebih setahun itu turut dikawal ketat, malah, kehadiran pihak berkuasa dipercayai berjaya ‘dihidu’ lebih awal oleh tonto.

“Kita berdepan dengan kesukaran kerana bukan sahaja terpaksa memecahkan pintu susulan laluan utama dikunci, malah, lif turut dimatikan sebagai sebahagian daripada taktik untuk menggagalkan serbuan,” ujar beliau.

Tambah Basri, mereka yang ditahan kini dihantar ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi buat sementara waktu.

“Siasatan akan dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya yang memaklumkan, operasi tersebut secara keseluruhannya melibatkan 45 anggota dari ibu pejabat Imigresen serta JIM Perak dan Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN