LUMUT: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak menjejaskan tanaman anggur yang diusahakan Siti Saloma Saad, 59, di Kampung Darat Jelutong, Batu 7 1/2 Lekir, Sitiawan di sini sebaliknya buah yang dihasilkan lebih manis dan rangup.
Menurut Siti Saloma, pokok anggur berusia 20 tahun yang ditanam di kawasan seluas dua ekar di sini juga lebih cepat matang dalam cuaca panas dan meningkatkan hasil tuaian.
Katanya, walaupun cuaca sangat panas, hasil buah anggur tetap memberangsangkan dan kadar kemanisan buah lebih tinggi.
“Tanaman anggur sangat sensitif terhadap air berlebihan terutama air hujan kerana boleh menyebabkan batang dan daun mudah berkulat serta buah berbintik hitam.
“Penjagaan pokok anggur memerlukan perhatian khusus mengikut varieti. Kita perlu faham kehendak pokok, daripada pembajaan, penyiraman hingga ke teknik pemangkasan. Kalau sembarangan, pokok tidak akan berbunga lebat.
“Alhamdulillah musim panas yang dialami negara ketika ini menjadikan buah anggur yang saya tanam lebih manis dan rangup selain hasilnya turut bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Saloma mula menanam anggur sekitar tahun 2002, pada awalnya hanya lima pokok benih yang dibeli pada harga RM25 sepokok berbanding kini mengusahakan lebih 40 hingga 50 pasu pokok anggur dan mengembangkan tanaman pokok anggur ke Ulu Dedap, Sungai Jawi di Seberang Perak di Pasir Salak seluas 1.2 hektar.
Katanya, antara varieti yang ditanam termasuk Long White Malaga dari Afrika Selatan yang terkenal dengan rasa manis dan tekstur rangup.
“Kejayaan tanaman pokok ini bergantung kepada pemilihan jenis tanah, penggunaan baja organik seperti najis kambing dan kelawar, serta penyiraman dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.
“Kesemua tanaman ditanam di bawah rumah lindungan hujan bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat cuaca tidak menentu.
“Tanaman anggur juga perlu penyesuaian teknik tempatan kerana tidak semua kaedah luar negara sesuai di sini,” katanya.
Sementara itu, kebun tanaman anggur milik Siti Saloma menjadi lokasi latihan industri kepada tiga pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, yang sedang menjalani latihan amali selama tiga minggu. – UTUSAN










