Cik Epal idam watak ganyang penyondol - Utusan Malaysia

Cik Epal idam watak ganyang penyondol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pempengaruh sensasi, Cik Epal, mengakui berhasrat mahu membawakan watak wanita yang ‘mengganyang’ penyondol jika diberi peluang menceburi bidang lakonan.

Menurut Cik Epal, hasrat itu masih belum dapat direalisasikan setelah sebelum ini pernah mencuba bidang nyanyian.

“Saya nak cuba berlakon sebab saya sedar suara saya menyanyi biasa-biasa sahaja.

“Kalau buat lagu, masa rakaman kita boleh sunting suara. Tapi kalau berlakon, saya teringin nak pegang watak wanita yang ‘ganyang’ penyondol,” katanya.

Selain itu, Cik Epal yang sebelum ini tampil dengan single sulung, Cukup Sampai Sini, pada Februari lalu turut mengakui bakal melancarkan lagu baharu hasil kerjasama dengan Aepul Roza sebaik selesai urusan perniagaannya.

“Hal bayaran deposit semua sudah saya selesaikan, tapi saya sibuk uruskan bisnes jadi belum sempat rakam lagu baharu itu. Tapi lagu Aepul memang sedap,” katanya sambil ketawa kecil.

Hasrat tersebut diluahkan selepas namanya mencuri perhatian di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) kelmarin apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Trending Terhangat.

Kemenangan itu cukup manis buat Cik Epal apabila berjaya menewaskan barisan selebriti popular termasuk Diana Danielle, Bella Astillah, Syed Saddiq, Nadzmi Adhwa, Alya Iman, Erma Fatima, Emma Maembong, Uqasha Senrose, Ain Edruce dan Puteri Balqis, sekali gus membuktikan pengaruh pempengaruh digital semakin kukuh dalam arena hiburan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan tak sangka. Terima kasih kepada pengikut yang mengundi.

“Rasa tak percaya dapat tewaskan semua selebriti lain memandangkan saya seorang sahaja pempengaruh dalam kategori ini. Saya terharu dan berterima kasih, Alhamdulillah,” katanya.

Kejayaan ini hadir selepas kehidupannya kembali tenang sebaik bergelar ibu tunggal berikutan penceraian dengan bekas suami, Jofliam, tahun lalu.

“Saya semakin tenang. Bila kembali solo, saya hanya fokus pada diri sendiri dan anak-anak.

“Kita tak ada gangguan lain yang boleh buat saya ‘overthinking’, semua dah tak ada, jadi saya lebih tenteram,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN