SUNGAI PETANI: Seorang buruh binaan warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, bulan lalu.
Tertuduh, Aye Thun, 59, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh lelaki dikenali sebagai Thambi @ Mian Bia di rumah kongsi tapak pembinaan di Bandar Utama, di sini kira-kira pukul 9 malam, 20 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md. Nor memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan bedah siasat serta laporan kimia yang kemudian ditetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Pada 22 Julai lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki Myanmar maut dipercayai dibunuh rakan senegara dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam. Mangsa yang berusia lingkungan 30-an ditemukan dengan kecederaan parah pada leher dan perut hingga usus terburai. – UTUSAN