Burger jadi sumber pendapatan pasangan OKU

Burger jadi sumber pendapatan pasangan OKU

MUHAMMAD Rizwan Tiu Abdullah dan isterinya, Nur Faizan di gerai jualan burger diusahakan mereka di Taman Sri Intan di Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kekangan untuk berkomunikasi tidak menghalang sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) pende­ngaran dan pertuturan memilih menyara hidup dengan menjual burger di Taman Sri Intan di Gemencheh, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Muhammad Rizwan Tiu Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Faizan Kuzan, 38, memberitahu, mereka tidak berputus asa untuk terus berniaga walaupun hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan.

Ditemubual menggunakan perkongsian penulisan selain dibantu oleh anak lelakinya, Muhammad Rizwan memberi­tahu, dia mula berniaga burger selepas pandemik Covid-19.

“Sebelum itu saya jual ca­sing (kelongsong) telefon bimbit di pasar malam, namun apabila pandemik melanda, jualan tidak laku.

“Jadi saya berfikir perlu mencari sumber rezeki lain lebih-lebih lagi saya mempunyai tiga orang anak lelaki hasil perkahwinan pertama. Setelah bernikah dengan Nur Faizan yang berasal dari Sabah, kami berniaga di sini, ” katanya di sini, semalam.

Kata Muhammad Rizwan, dia tidak akan berputus asa kerana masih perlu menyara tiga anak berusia tujuh hingga 16 tahun selain perlu membayar hutang.

“Namun saya berasa bertuah, apabila rakan-rakan OKU dari beberapa lokasi memberikan sokongan dengan membeli burger di gerai kami.

“Kebanyakan pelanggan adalah rakan-rakan OKU saya. Ada juga pelanggan setempat namun tidak ramai kerana lokasi gerai saya bukan di jalan utama,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap jualannya yang bermula pukul 4.30 petang hingga 10.30 malam itu akan bertambah baik kerana itu adalah satu-satunya sumber pendapatan yang dia ada ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN