Bunuh rakan asrama: Seorang dipenjara 30 tahun, 12 lagi sehingga dapat pengampunan

Bunuh rakan asrama: Seorang dipenjara 30 tahun, 12 lagi sehingga dapat pengampunan

KESEMUA tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan sehingga mendapat pengampunan oleh Mahkamah Tinggi, Tawau, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan kepada seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) kerana membunuh rakan seasrama, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd. Narul Azwan, 17, dalam kejadian di asrama kolej itu tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu dari tarikh ditangkap pada 23 Mac 2024 selepas mengambil kira penilaian dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, 12 lagi pesalah muda berusia bawah 18 tahun yang turut terlibat membunuh Mohamad Nazmie Aizzat dijatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan Yang Dipertua Negeri.

Sebelum ini, tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun, disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Duncan pada prosiding penetapan hukuman berkata, mahkamah telah meneliti laporan, hujah pembelaan dan pendakwaan termasuk hukuman mati dalam kes dengan mengambil kira kepentingan awam serta prospek pemulihan tertuduh sebelum menjatuhkan perintah.

“Kes buli hari ini telah meningkat sehingga mengorbankan nyawa. Kes ini menjadi peringatan bahawa buli bukanlah perkara remeh. Ia memusnahkan kehidupan, meragut masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.

“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih baik, namun ada yang pulang dalam keadaan trauma dan ada yang tidak pulang langsung. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya.

Hadir pada prosiding hari ini ialah ibu mangsa, Siti Hamidah Jumari, 46.

Mohamad Nazmie Aizzat dilaporkan maut selepas diserang di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di KVLD antara pukul 9 malam, 21 Mac 2024 hingga pukul 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd. Latif bersama Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd. Khusri.

Lapan tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye manakala lima lagi masing-masing diwakili Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN