‘Bukan tak mahu jadi heroin, tunggu saya kurus dahulu’ - Utusan Malaysia

‘Bukan tak mahu jadi heroin, tunggu saya kurus dahulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam suasana industri seni yang sering menuntut kesempurnaan rupa paras dan penampilan, pelakon muda berbakat, Bella Dowanna bagaimanapun tampil dengan pendirian berbeza.

Meski ramai pelakon seangkatannya berlumba-lumba mahu ke depan, Bella selesa memilih untuk berdiri di belakang seketika, bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana dia tahu masanya belum tiba.

Baginya, soal mengejar populariti bukan keutamaannya dalam berkarya.

Berterus-terang, Bella mengakui, dia sendiri belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai pelakon utama drama, khususnya dalam genre romantik meskipun sedar watak begitu pasti mudah meraih perhatian ramai.

“Saya sebenarnya tak terkejar-kejar pun nak jadi heroin. Saya tahu, semua pelakon pasti menyimpan impian itu, tapi saya realistik.

“Saya tahu diri saya, dan saya tahu saya belum bersedia dari segi fizikal mahupun mental.

“Pernah juga saya dapat tawaran untuk bawa watak utama, termasuk untuk drama-drama di slot perdana. Tetapi saya tolak, sebab rasa belum sesuai.

“Bukan sebab saya tak percaya pada bakat sendiri, tapi sebab saya tak rasa saya dah cukup bersedia dari segi fizikal. Kalau saya buat juga, nanti saya sendiri yang rasa tak selesa,” ujarnya.

Bella dalam nada yang tenang ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter terbitan Viu baru-baru ini.

Bercerita tentang keinginannya untuk terus mengembangkan bakat dalam genre cinta atau naskhah berat, Bella mengakui satu perkara penting, dia mahu turunkan berat badan terlebih dahulu sebelum benar-benar tampil sebagai leading lady atau heroin yang diyakini.

“Saya akan lebih yakin bila saya kurus lagi. Sekarang ini pun saya tengah dalam proses turunkan berat. Bukan drastik, tapi secara perlahan-lahan ikut keselesaan saya.

“Sebenarnya saya tak suka memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya set di fikiran, yang saya buat ini untuk diri sendiri, bukan sebab permintaan orang.

“Apabila saya dah capai sasaran, mungkin waktu itu saya akan bersedia untuk pegang watak heroin. Sekarang ini saya tak letak jangka masa, sebab saya tak nak stres. Bila kita buat sesuatu dengan rela hati, kita akan lebih mudah capai hasil, saya berpegang pada prinsip itu,”ujarnya.

Tak ayu, saya wanita kasar

Dalam perkembangan kerjaya, Bella yang baharu saha muncul dengan drama berjudul Abang Imam Minah Skuter di saluran OTT, Viu, bagaimanapun mengakui senang membawakan watak Mardhiah.

Merupakan seorang gadis kampung yang lantang dan keras, namun punya prinsip dan keberanian memperjuangkan hak wanita, bagi Bella, watak itu sebenarnya sangat dekat dengan jati dirinya sendiri.

“Mardhiah dan saya sama, personaliti kami memang kasar-kasar macam itu. Saya memang jenis loud bila bercakap. Watak ini berontak sebab sejarah hidup dia. Di kampung Ulu Banat, perempuan-perempuan selalu kena tindas oleh lelaki.

“Mardhiah tengah cari jalan nak selesaikan semua itu. Dia satu-satunya yang berani. Jadi, cara dia bercakap pun kena loud,”katanya.

Mengaitkan personaliti itu dengan dirinya, kata pelakon berusia 22 tahun ini, dia tidak pernah berpura-pura menjadi seorang wanita yang berkelakuan kasar, sebaliknya itu adalah karektor dirinya secara realiti sejak dari kecil.

Menurut Bella, dia tidak menolak kemungkinan sikapnya tegas dan kasar itu sudah sebati dengan diri berikutan sejak dari kecil sudah terbiasa dengan dunia pekerjaan lantaran dia juga merupakan seorang pelakon cilik sebelum ini.

“Kalau ditanya kenapa saya jadi kasar macam ini, rasanya mungkin sebab persekitaran saya. Dari kecil saya dah bekerja. Jadi saya jumpa ramai jenis orang, saya tak lalui zaman budak-budak macam orang lain yang ada waktu bermain, pergi sekolah, lepak dengan kawan.

”Saya terus kerja. Jadi cara saya membesar itu berbeza. Mungkin sebab itu saya jadi macam ini, keras sikit, matang sikit,” luahnya.

Katanya lagi, walaupun sikap ‘keras’ itu sebahagiannya lahir daripada suasana sekeliling, dia percaya ada juga faktor semula jadi dalam pembentukannya dirinya.

“Saya rasa memang saya lahir-lahir sudah macam ini. Bukan sebab orang ajar pun. Tapi memang inilah saya. Persekitaran saya pun ramai lelaki, saya memang selesa macam itu.

“Tapi saya tetap ada adab. Saya tahu bila nak kawal ayu, bila nak lepas laku dan jadi diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Bella turut mengulas persepsi masyarakat terhadap wanita yang tidak berperwatakan lemah lembut atau ‘ayu’ seperti yang sering dituntut dalam stereotaip tradisional.

“Salah ke kalau tidak ayu sebagai seorang perempuan? Saya rasa tak salah pun. Tapi kena tengok tempat lah. Tak adalah semua tempat kita nak jadi loud.

“Yang penting, ada adab. Bila adab itu ada, orang akan terima siapa kita,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN