Bukan sebab tergesa-gesa mahu bergelar ibu tunggal - Linda Hashim - Utusan Malaysia

Bukan sebab tergesa-gesa mahu bergelar ibu tunggal – Linda Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim, 41, menepis dakwaan sesetengah pihak yang beranggapan kononnya dia beria-ia mahu mempercepatkan proses perceraian dengan suami, aktor, Beego, gara-gara tidak sabar bergelar ibu tunggal.

Menurut Linda, tuduhan itu sama sekali tidak benar kerana sejak awal perceraian difailkan, dia hanya mengikut aturan ditetapkan mahkamah tanpa sebarang desakan peribadi.

“Macam yang saya pernah cakap, saya tak rushing (tergesa-gesa). Saya dah ulang banyak kali. Tindakan yang diambil hanyalah untuk mengesahkan kedudukan status rumah tangga memandangkan lafaz taklik telah dilanggar.

“Benda yang tak baik, elok kita buang cepat-cepat. Tapi sekali lagi saya nak tegaskan, saya tak tergesa-gesa. Dari awal saya ikut saja apa yang mahkamah tetapkan. Tarikh seterusnya pun saya ikut.

“Kalau betul saya nak cepat sangat, nak sangat jadi ibu tunggal, macam-macam cara saya boleh buat. Tapi saya ikut peguam, ikut hakim, ikut proses. Bila dia tak datang pun, saya ikut saja,” ujarnya.

Linda berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain itu, Linda berkata, punca utama dia mahu melepaskan perkahwinan itu adalah kerana Beego tidak menunaikan nafkah yang menjadi tanggungjawab sebagai suami.

“Dah berbulan-bulan, bukan sekarang saja, sejak sebelum ini lagi. Nafkah saya tidak diberi. Itu tidak bagus untuk dia, untuk dirinya sendiri.

“Tak elok, hanya menambah dosa. Jadi untuk apa nak simpan saya lagi kalau nafkah pun tidak diberi? Itu sebabnya saya nak lepaskan,” katanya lagi.

Tambah Linda, dia percaya bahawa selepas urusan perceraian ini selesai, masing-masing boleh membawa haluan sendiri tanpa menjejaskan hubungan Beego dengan anak-anak mereka.

“Dia boleh jadi seorang bapa yang baik, saya jadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak. Hidup kami terus berjalan macam biasa. Saya tiada masalah, tiada halangan pun kalau dia nak berjumpa dengan anak-anak,”katanya.

Mengulas lanjut, Linda bersyukur kehidupannya kini lebih tenang bersama anak-anak yang sejak awal memang jarang berhubung rapat dengan bapa mereka.

“Alhamdulillah, saya dengan anak-anak sudah terbiasa bersama sejak dulu. Daripada dahulu, hanya saya dengan anak-anak sahaja.

“Anak-anak pun memang jarang dengan bapa mereka. Jadi mereka tidak pernah tanya pun nak jumpa bapa,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Tanda Putera dan Syaitan Munafik ini memberi amaran tegas supaya Beego selepas ini tidak lagi mengganggu kehidupannya.

“Cuma di sini saya nak tekankan satu perkara: tolonglah, selepas ini pihak sana jangan ganggu lagi,” tegasnya.

Terdahulu, Beego dilaporkan tidak hadir ke prosiding mahkamah pada hari ini atas alasan tidak sihat.

Untuk rekod, pada 23 April lalu, pasangan itu telah menjalani proses JKP berhubung kes perceraian mereka. Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan, sebelum ditangguhkan ke semalam.

Linda sebelum ini memfailkan perceraian pada awal Januari lalu atas alasan tiada persefahaman.

Bagaimanapun, kedua-duanya pernah menarik semula tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak pada Mei 2023 selepas mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada April 2023, setelah bercerai kali pertama pada 27 Mac tahun sama.

Linda turut mendedahkan mereka pernah bercerai kali kedua beberapa bulan selepas rujuk, namun tidak mendedahkannya kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN