PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, insentif itu terpakai bagi anggota berpangkat Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5).
Menurutnya, kerajaan sedar bahawa pemberian BIPs yang diberikan ketika ini terhad sehingga Pegawai Waran II Setaraf (Gred Z6) dan Pegawai Waran I Setaraf (Gred Z7) sahaja, membabitkan mereka yang memenuhi tempoh perkhidmatan enam tahun di gred semasa.
“Jadi kita setuju perluaskan insentif ini kepada anggota lain-lain pangkat ATM iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5). Tempoh perkhidmatan yang melayakkan insentif BIPs bagi anggota LLP ATM bagi Gred Z4 hingga Z7 dipendekkan dari enam tahun kepada empat tahun.
“Insentif ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota dengan implikasi sebanyak RM6.47 juta setahun dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan memperluaskan tujuh Kelayakan Masuk Pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) membabitkan Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju memberi Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) berbentuk insentif kewangan kepada penjawat awam yang menamatkan pengajian peringkat tertinggi yang menggunakan perbelanjaan sendiri.
Katanya, ia membabitkan Pegawai Awam (Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana) yang memulakan dan menamatkan pengajian serta memiliki kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf semasa dalam perkhidmatan.
“Kadar pemberian HPA yang bersifat sekali dalam sepanjang perkhidmatan membabitkan peruntukan sebanyak RM75.7 juta dan memberi manfaat kepada seramai 91,672 orang pegawai awam yang merentasi semua skim perkhidmatan,” katanya.
Katanya, bagi penjawat awam yang menamatkan doktor falsafah (PhD) akan menerima RM1,250; ijazah sarjana (RM1,000); ijazah sarjana muda (RM750) dan diploma serta setaraf (RM500).
Selain itu, Anwar berkata, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga akan menerima dana RM3 juta bagi memperkasa institut itu sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global.
“Dana itu akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pegawai awam dalam penyampaian perkhidmatan khususnya dalam bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan block-chain,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan program Akreditasi Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu bagi Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) bagi tahun 2026.
“Seperti sedia maklum, dalam Belanjawan 2025 telah diluluskan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menanggung kos pengajian melalui pemberian bantuan yuran pengajian bagi Program APEL.Q sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000 bergantung kepada mana yang terendah.
“Saya dengan sukacitanya bersetuju supaya inisiatif APEL.Q @ INTAN ini diteruskan untuk tahun 2026 dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta,” katanya.
Seterusnya, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti haji penjawat awam.
“Ramai yang mengeluh melalui Tabung Haji bahawa nak pergi haji dia kena sahkan dalam perkhidmatan. Jadi syarat pengesahan dalam perkhidmatan itu dimansuhkan,” katanya.










