KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah terkemuka Emiriah Arab Bersatu (UAE), Binghatti, secara rasmi memilih Malaysia sebagai hab pelaburan Asia Tenggara bagi menarik minat pelabur terhadap rangkaian projek kediaman mewah di Dubai.
Langkah strategik itu dimeterai melalui kerjasama bersama firma penasihat hartanah berpangkalan di Hong Kong, Swan Knights dan agensi pemasaran, Skylink Global Consultancy sebagai usaha memperkukuh kedudukan Binghatti di pasaran serantau.
Menurut Pengurus Jualan Binghatti, Lucky Zhang, Malaysia merupakan antara pasaran utama yang diberi tumpuan kerana potensi pelaburannya yang semakin berkembang.
“Portfolio semasa kami telah melebihi AED 50 bilion (RM85 bilion) merangkumi lebih 80 projek dan 11,000 unit kediaman yang telah disiapkan di Dubai.
“Malaysia menjadi fokus kerana kami melihat semakin ramai pelabur dari negara ini mencari peluang pelaburan hartanah di Dubai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Malaysia Sebagai Hab Asia Tenggara Projek Mercu Tanda Binghatti di Dubai yang berlangsung di Ibis Hotel Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini, semalam.
Zhang berkata, keputusan memilih Malaysia sebagai pusat pelancaran utama adalah berasaskan pertumbuhan pesat pelabur berprofil tinggi dari negara ini yang berminat terhadap pasaran hartanah antarabangsa.
Katanya, Malaysia juga mempunyai populasi ultra-high-net-worth individuals (UHNWIs) yang dijangka meningkat 35 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu antara kadar pertumbuhan tertinggi di Asia.
“Binghatti merupakan satu-satunya pemaju di Dubai yang menggabungkan reka bentuk, pembinaan dan pembuatan bahan binaan secara dalaman. Ini membolehkan kami menyiapkan lebih 80 projek bernilai USD20 bilion sejak tahun 2008.
“Malah, projek Aquarise yang kini dalam pembangunan terletak di lokasi strategik, hanya lima minit dari Burj Khalifa dan menawarkan pulangan sewaan tahunan sekitar 8 hingga 9 peratus manakala peningkatan nilai hartanah dianggarkan 20 peratus setahun,” katanya.
Beliau berkata, Binghatti juga diiktiraf oleh Jabatan Tanah Dubai sebagai pemaju yang mencatat kadar penyerahan projek paling pantas serta mengekalkan standard kualiti tertinggi.
“Projek kami seperti Burj Binghatti Jacob & Co. Residences bakal menjadi menara kediaman berjenama tertinggi di dunia.
“Selain itu, kami juga membangunkan Bugatti Residences dan Mercedes-Benz Places, yang merupakan projek pertama di dunia dalam segmen kediaman ultra-mewah berjenama,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Swan Knights, Cubie Chan berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu adalah satu pencapaian penting dalam menyediakan laluan strategik kepada pelabur yang ingin menembusi pasaran hartanah Dubai.
“Kami komited menyediakan khidmat nasihat yang seiring dengan kehendak dan aspirasi pelabur dari Malaysia dan Asia Tenggara.
“Pasukan kami juga akan memastikan pelabur mendapat pemahaman jelas mengenai landskap pasaran hartanah Dubai serta membantu mereka memaksimumkan pulangan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya hanya memilih untuk bekerjasama dengan Binghatti selepas meneliti kekuatan pemaju tersebut dari segi harga, lokasi dan kualiti projek yang ditawarkan.
“Kami hanya syorkan projek yang telah kami lawati sendiri. Unit Binghatti sememangnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penyewa di Dubai, sama seperti pemaju lain yang sudah dikenali ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Skylink Global Consultancy, Sammy Heng berkata, pihaknya berbesar hati menjadi penghubung rasmi antara pelabur Malaysia dengan Binghatti.
Menurut beliau, Skylink akan memainkan peranan penting dalam menyediakan akses yang lebih mudah dan tersusun kepada pelabur tempatan yang ingin meneroka pasaran hartanah Dubai.
“Kami memahami keperluan pelabur Malaysia yang sentiasa mengutamakan ketelusan serta bimbingan menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
“Justeru, fokus kami adalah memastikan setiap pelabur mendapat panduan yang jelas, lengkap dan profesional sepanjang proses pelaburan mereka, bermula daripada pemilihan unit sehingga selepas penyerahan hartanah,” katanya.
Sebagai permulaan, Binghatti memperkenalkan projek terbaharu mereka, Aquarise, sebuah menara kediaman mewah berkonsepkan seni bina berinspirasikan air yang terletak di Business Bay, Dubai.
Menara tersebut dijangka siap antara 2026 hingga 2027 dengan harga bermula daripada AED 1 juta (RM1.6 juta).
Selain Aquarise, dua lagi projek utama, Skyhall dan Skyrise, kini dalam peringkat pembinaan sekaligus menambah kepelbagaian dalam portfolio pembangunan premium syarikat itu. – UTUSAN