ARAU: Isu racun tidak berkualiti yang merupakan antara penyumbang hasil padi merosot bukanlah perkara baharu dibangkitkan pesawah, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.
Ia turut menjadi salah satu cabaran merealisasikan hasrat kerajaan ke arah peningkatan hasil melalui penanaman padi lima kali dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan agar bantuan atau insentif racun bernilai RM200 sehektar yang diberikan kerajaan ditukar kepada skim kupon bagi membolehkan pesawah membeli sendiri racun yang mereka percaya.
Katanya, melalui kupon tersebut, pesawah mempunyai lebih pilihan membeli racun yang dirasakan bersesuaian dengan tanaman, berbanding terpaksa membeli racun yang disediakan syarikat-syarikat tertentu.
Katanya, ramai pesawah merungut mengenai racun digunakan pada masa ini tidak berkesan, lantas memberi impak besar kepada tanaman.
“Isu racun ini agak lama dibangkitkan dan sehingga kini masih tidak ada alternatif dan jalan penyelesaian terbaik. Kita juga sudah panjangkan kepada kementerian bagi mencari pendekatan terbaik menangani isu berkenaan.
“Kita cadangkan agar tukar kepada sistem kupon di mana pesawah menggunakan kupon ini untuk membeli sendiri racun. Jika tidak masalah sama akan terus berulang setiap musim. Dalam masa terdekat, kita juga akan melihat keperluan memanggil syarikat-syarikat racun ini untuk sesi libat urus bersama pesawah bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pesawah akan menggunakan subsidi racun RM200 itu bagi memesan racun melalui lima ke enam syarikat ditetapkan.
Katanya, ketika bancian dilaksanakan di sesuatu kawasan, pesawah lazimnya memilih racun mengikut nama syarikat, bukan jenis racun.
Ujarnya, harga racun ketika ini antara RM50 sehingga RM200 dan jika belian racun oleh pesawah melebihi jumlah subsidi yang diberikan, mereka perlu menambah wang sendiri.
“Pesawah selalunya tidak ada pilihan, pilih sahaja racun yang mana ada daripada syarikat-syarikat berkenaan. Disebabkan itu, kadang-kala ada racun yang tidak sesuai serta tidak berkualiti.
“Ia memberi kesan kepada hasil yang merosot. Kadang-kala ada racun yang mengikut sukatan sekali pun, gagal mengatasi masalah serangan bena perang pada tanaman padi.
“Adakala pelbagai jenis racun sudah digunakan namun masih tidak dapat mengawal serangan bena perang ini,” katanya.
Katanya, beliau juga melihat sistem yang ada sekarang perlu ditukar kepada kaedah kupon di mana pesawah boleh membeli sendiri racun di mana-mana kedai atau pembekal lain mengikut pilihan dan kesesuaian tanaman.
Mohd. Shazwan berkata, sudah sekian lama pihaknya membangkitkan isu racun tidak berkualiti, namun belum ada jalan penyelesaian.
“Ke arah merealisasikan hasrat dan seruan kerajaan mengenai penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, masalah serta isu asas seperti racun, baja ini perlu diselesaikan selain masalah infrastruktur,” katanya. – UTUSAN










