DUNGUN : Seekor lagi beruang matahari yang sering berkeliaran di kawasan Bukit Besi, di sini diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas haiwan liar itu memasuki perangkap, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik berkata, sebelum ini dua ekor beruang matahari turut memasuki perangkap di kawasan padang golf kampung itu dan Kampung Besol Baru, sejak Jun lalu.
Katanya, sebelum ini beruang matahari jantan itu dikesan berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk sejak Rabu lalu.
“Alhamdulillah, tindakan pantas anggota Perhilitan membuahkan hasil apabila beruang ini ditangkap kurang 24 jam selepas perangkap dipasang. Mereka pasang perangkap pada petang Selasa dan awal pagi semalam kami dapati pintu perangkap dah tertutup dan bila didekati, terdapat seekor beruang dalam perangkap itu.
“Bila dah dapat tangkap beruang ni, penduduk di sini memang rasa lega sedikit sebab sebelum ini beruang ini bertindak mencuri tanaman penduduk terutamanya pokok kelapa,” katanya hari ini.
Ahmad Bakhir berkata, meskipun beruang itu merosakkan tanaman penduduk, haiwan berkenaan tidak mengganggu penduduk di kawasan itu.
“Beruang ini hanya masuk ke kawasan kampung untuk mencari makan terutama pada musim buah. Biasanya kalau terserempak dengan penduduk pun, tak memberi ancaman kerana beruang itu lari ke hutan atau belukar berhampiran,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang jantan dewasa yang dianggarkan seberat 90 kilogram itu berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan. – UTUSAN










