Beri keutamaan kepada penyandang bentuk kerjasama GRS-PH- BN

Beri keutamaan kepada penyandang bentuk kerjasama GRS-PH- BN

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keutamaan perlu diberi kepada penyandang dalam soal pembahagian kerusi dengan melibatkan blok Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Sabah nanti.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, keutamaan perlu diberi kepada parti yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 untuk terus bertanding di tempat sama, manakala parti lain dalam gabungan akan memberi sokongan.

Katanya, langkah itu penting untuk mengekalkan kestabilan gabungan sekali gus mengelakkan situasi pertandingan tiga penjuru yang boleh merugikan semua pihak.

“Perlu beri keutamaan kepada penyandang sebelum ini.Ia bermakna mana-mana parti penyandang dalam PRN lalu diberi keutamaan untuk bertanding dalam PRN Sabah akan datang, parti lain hanya menyokong.

“GRS semestinya tidak mahu mengulangi pengalaman lepas di mana persaingan antara parti dalam gabungan menyebabkan berlaku pertembungan dan memberi ruang kepada pihak lawan mengambil kesempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam .

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, rundingan sedang dijalankan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru antara GRS, PH dan BN dalam PRN Sabah nanti.

Semua daripada mereka kini di peringkat rundingan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan termasuk soal kerusi yang akan ditandingi.

Dalam pada itu, Romzi berkata, kerjasama antara ketiga-tiga gabungan itu perlu dimuktamadkan dan diperjelaskan kepada semua terutama rakyat Sabah dengan lebih awal lagi.

Katanya, ini kerana masih banyak akar umbi mahukan GRS bergerak solo pada pada PRN nanti.

Dalam laporan sebuah berita portal sebelum ini, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dikatakan mahu GRS bergerak solo termasuk berpandangan negatif kononnya kerjasama dengan parti Semenanjung seolah-olah satu bentuk pengkhianatan.

GRS kini dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan beberapa parti tempatan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN