KLUANG: Seorang ibu tunggal terpaksa mengharapkan upah menyiapkan kuih popia simpul sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan tujuh anaknya di samping menanggung abangnya berstatus orang kurang upaya (OKU).
Hafizah Hamid, 48, berkata, upah menyiapkan kuih popia simpul antara RM7 hingga RM10 sehari itu digunakan sebaiknya untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya.
Katanya, ada ketika tiada pendapatan diperoleh kerana kadang-kala tidak membuat tempahan menyebabkan terpaksa berjimat cermat dengan pencen Ilat kematian suaminya yang hanya berjumlah RM500 sebulan.
“Saya bukan menjual, tapi hanya mengambil upah menyiapkan kuih popia simpul yang mana semua barang-barang keperluan sudah disediakan oleh penjual dan tugas saya hanya menyimpulnya sahaja.
“Untuk persekolahan enam orang anaknya daripada darjah empat hingga tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah di Batu 4, mereka masing-masing menerima bantuan pelajaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hafizah, seorang lagi anaknya baru menamatkan persekolahan tingkatan enam tahun lepas dan kini menunggu panggilan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk menyambung pelajaran di universiti.
Ujarnya, sebagai persediaan, anak sulung berusia 20 tahun itu kini berkerja sebagai pembantu jualan untuk mengumpul duit agar tidak terbeban dengan bayaran yuran apabila mendapat panggilan nanti.-UTUSAN










