Belum masanya lagi untuk Mika bercinta - Nabil Ahmad - Utusan Malaysia

Belum masanya lagi untuk Mika bercinta – Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad mengakui tidak mengetahui bahawa puteri sulungnya, Nayla Mikayla atau Mika sudah mempunyai teman lelaki pada usia 13 tahun.

Menurut Nabil, dia juga belum melihat video yang memaparkan gelagat mesra anaknya bersama seorang remaja lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Pada saya, belum masanya lagi untuk Mika bercinta. Dia baru berusia 13 tahun. Mungkin itu hanyalah cinta monyet. Saya ada dengar daripada orang lain mengenai perkara ini.

“Tetapi, saya belum lihat lagi video tersebut. Isteri saya juga ada memaklumkan dia sedang berkawan dengan seseorang,” katanya selepas membuat pengumuman Anugerah MeleTOP Era, pada Selasa.

Dalam pada itu, Nabil memaklumkan dia hanya menyedari perkara tersebut selepas rakan-rakannya mengucapkan tahniah kerana bakal menerima menantu.

Bagaimanapun, pengacara MeleTOP itu mengakui dirinya kini tidak boleh lari dari berdepan dengan dilema dan cabaran untuk membesarkan anak perempuannya yang sudah melangkah masuk usia remaja.

“Inilah konflik golongan bapa zaman sekarang, saya perlu memikirkan cara yang terbaik untuk menegurnya ibarat menarik rambut dalam tepung. Saya anggap ini merupakan fasa yang saya perlu lalui sebagai ibu bapa.

“Kalau tegur akan merajuk tetapi jika tidak diberitahu lain pula jadi. Sebelum ini saya tak pernah pantau telefon bimbit dia sebab selama ini Zira yang simpan.

“Dia hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit pada Sabtu dan Ahad sahaja. Saya juga masih menggunakan cara didikan arwah ayah saya di mana dia menjaga anak perempuannya sehingga berkahwin,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video yang dimuat naik seorang lelaki bernama Aiman memaparkan gelagat mesranya dengan Mikayla sebelum dipadam semula di TikTok

Nabil mendirikan rumah tangga dengan Nazirah Ayub pada 30 September 2011.

Selain Mikayla, mereka dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Layla Medyna, 10, dan Mishall Imani yang kini berusia 6 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN