Belanjawan 2026 perlu selari kerangka besar RMK13 – PM

Belanjawan 2026 perlu selari kerangka besar RMK13 – PM

ANWAR Ibrahim bergambar selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling supaya pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendekatan ‘lantai dan siling’ merupakan prinsip asas dalam memastikan strategi pembangunan negara memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, bukan sekadar angka pertumbuhan atau jumlah pelaburan semata-mata.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan Belanjawan 2026 bukan sahaja bersifat realistik dari segi fiskal, tetapi juga berjiwa rakyat, menumpukan kepada pembelaan masyarakat, memperkasa ekonomi tempatan dan menjana keyakinan masa depan.

“Kalau kita hanya bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tanpa memikirkan soal lantai, ia menjadi masalah. Harga barang tak akan susut, malah naik. Jadi, kalau gaji rakyat tak naik setimpal, tekanan kos sara hidup akan terus membebankan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada sesi libat urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2026 akan memberi keutamaan kepada program-program yang menyantuni masalah rakyat, dengan pendekatan libat urus yang melibatkan masyarakat sivil, sektor swasta dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).

Menurutnya, maklum balas daripada sektor swasta amat memberangsangkan, khususnya terhadap inisiatif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat, di mana syarikat-syarikat besar tampil menaja kemajuan komuniti secara langsung.

“Kita cadangkan 1,000 sekolah angkat diambil oleh syarikat swasta dan GLIC. Setakat ini, sasaran itu telah tercapai. Ada juga kampung yang beli dron, ikan, lembu, malah traktor, semua ini hasil daripada mereka sendiri menguruskan dana yang diberi,” jelas beliau.

Melalui inisiatif Sejahtera Madani, setiap kampung, Felda dan komuniti miskin bandar diberikan peruntukan RM100,000 dengan autonomi penuh untuk mengurus dan melaksanakan projek mengikut keperluan tempatan.

“Kita beri dana, tapi keputusan sepenuhnya diserahkan kepada jawatankuasa kampung – belia, wanita, surau. Pengurusan wang itu lebih bertanggungjawab, ini cara memberi makna program jabatan kerajaan (mengikut keperluan rakyat),” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh soal tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), terutamanya berkaitan semikonduktor, yang menurutnya kini mendapat perhatian khusus susulan perjanjian dengan negara kuasa besar.

Beliau menjelaskan, sebahagian besar syarikat yang terlibat adalah syarikat AS atau telah melabur di AS, dan tidak terkesan secara langsung. Bagaimanapun, Malaysia tetap memantau perkembangan tersebut secara dekat.

“Ada syarikat seperti Infineon Technologies dari Jerman, kita tak pasti tahap komitmen mereka di AS, tapi kita pantau kerana mereka penting kepada rantaian bekalan Eropah dan Asia,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut menyatakan kejayaan Malaysia membantu meredakan ketegangan sempadan Kemboja-Thailand baru-baru ini turut mempengaruhi pendirian lebih lunak negara kuasa besar terhadap Malaysia, termasuk dalam rundingan berkaitan tarif.

“Ini semua hasil diplomasi berprinsip dan tegas, tetapi matang. Ia memperkukuh keyakinan dunia terhadap Malaysia dan memberi kita ruang lebih baik dalam rundingan antarabangsa,” tegas beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN